Acara Sambutan Hari Keputeraan Agong Ditangguhkan

53

28 MEI: Semua acara sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Jun ini ditangguhkan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi satu kenyataan hari ini berkata, Yang di-Pertuan Agong menitahkan penangguhan itu susulan peningkatan ketara kes jangkitan harian dan kematian baharu COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Beliau berkata, penangguhan ini juga adalah  atas titah perkenan Seri Paduka Baginda setelah mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan umum bagi melindungi nyawa rakyat demi mengelakkan krisis kesihatan yang lebih buruk.

“Perkenan ini juga sebagai langkah perlindungan kerana negara masih lagi memerangi penularan wabak COVID-19. Kesemua acara ditangguhkan ke satu tarikh yang diumumkan kelak. 

“Ini merupakan kali kedua semua acara sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda ditangguhkan. Pada tahun lalu, semua acara juga ditangguhkan berikutan penularan wabak COVID-19,” katanya.

Walau bagaimanapun, Ahmad Fadil memaklumkan tarikh 7 Jun depan telah ditetap dan diisytiharkan sebagai hari kelepasan am atau cuti umum sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.