SKMM kena siasat pemilik DurianKumchi hina pakaian Iban

162

27 MEI: Pertubuhan Transformasi Dayak (TRADA) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook, DurianKumchi dan Instagram, ryzalibrahim yang didakwa menghina serta mempersendakan pakaian tradisi kaum Iban, Ngepan Iban.

Presiden TRADA, Joseph Ninting Janting berkata, siasatan dan tindakan setimpal perlu diambil ke atas pemilik akaun media sosial itu, Ryzal Ibrahim atau nama sebenarnya Nik Muhammad Ryzal Ibrahim, memandangkan kenyataan dibuatnya mampu mengganggu-gugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

Katanya, isu sama bukan kali pertama membabitkan selebriti tempatan dan ‘influencer’ yang menghina masyarakat Dayak secara terang-terangan di media sosial, termasuk sesuka hati mengatakan mereka, terutama bangsa Iban masih tinggal di atas pokok.

“Jika hal ini tidak dibendung dan tiada tindakan dikenakan kepada individu terbabit, masyarakat akan menganggap bahawa gurauan seperti itu adalah satu kebiasaan, seterusnya mampu mengugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

“Dia perlu membuat permohonan maaf secara terbuka,’’ katanya menerusi kenyatan, hari ini.

Joseph berkata, walaupun Ryzal ada membuat permohonan maaf di media sosial, tindakan itu langsung tidak menunjukkan kekesalan atas situasi berkenaan.

“Dia langsung tidak menunjukkan kekesalan dengan apa yang berlaku dan nampaknya, dia tidak tahu langsung tentang budaya masyarakat majmuk di Malaysia.

“Apa yang lebih merisaukan dia adalah kehilangan pengikut dan perniagaannya,” katanya.

Menerusi video berdurasi satu minit tular di media sosial, Ryzal dirakamkan sedang mempersendakan Ngepan Iban dikenakan isterinya yang juga warga Korea Selatan, Maryam You Narae dengan menyamakan aksesori dan material pakaian tradisional kaum di Sarawak itu seperti duit syiling, kain meja, alas televisyen, kain buruk, langsir, tikar serta tali pinggang pengakap.

Tindakan dipercayai dilakukan di sebuah bilik mekap ketika Maryam ditatarias itu, membangkitkan kemarahan orang ramai, terutama rakyat Sarawak dan kaum Iban, selain mengundang kecaman di media sosial terhadapnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.