Sikap sambil lewa penjawat awam kena tegur

25

27 MEI: Sikap sambil lewa sebahagian penjawat awam ketika menjalankan tugas diberi teguran oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

Khairul Adib berkata, kebanyakan penjawat awam dilihat tidak membantu kerajaan untuk menjana serta merancakkan ekonomi negara, sebaliknya hanya mengharapkan kenaikan pangkat yang lebih tinggi.

Beliau menegaskan, penjawat awam seharusnya menurunkan ego masing-masing dan bersama dengan rakyat bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi.

MOHD KHAIRUL ADIB

“Penjawat awam sepatutnya perlu ada semangat berkhidmat untuk negara dan rakyat, kita perlu turunkan ego untuk bersama dengan rakyat.

“Tetapi sebaliknya mereka kerja sambil lewa, tidak membantu dan berada di takuk yang lama dan hanya harapkan kenaikan pangkat yang lebih tinggi.

“Sepatutnya selepas setahun penularan COVID-19 ini penjawat awam perlu lebih menghargai kerana mereka ini tidak terkesan, masih ada gaji dan elaun yang masuk seperti biasa namun mereka tidak hargai apa yang diberikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), yang disiarkan secara langsung di Facebook JPA hari ini.

Khairul Adib berkata, sekiranya mutu perkhidmatan itu ditambah baik, ia sekali gus dapat menangkis perspektif negatif orang luar terhadap kakitangan kerajaan.

Khairul Adib turut memberi contoh tugas yang dilakukan oleh penjawat awam yang bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta sukarelawan yang berkhidmat di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

“Saya ada baca satu artikel yang menghargai sukarelawan ditugaskan di WTCKL. Seorang individu ini pergi membawa ibunya seorang warga emas dan ketika tengah beratur ibunya mahu ke tandas.

“Namun tandas yang paling dekat pun kira-kira 500 meter, jika ibunya ke tandas mereka perlu berjalan jauh dan beratur semula. Jadi individu ini pergi pada sukarelawan yang bertugas memberitahu masalah yang dihadapi.

“Beberapa minit kemudian sukarelawan berkenaan datang dengan kerusi roda dan membawa ibu individu berkenaan ke tandas,” katanya.

Khairul Adib berkata, menerusi penulisan dalam artikel itu, individu terbabit mengakui beliau adalah orang yang suka mengadu namun tindakan sukarelawan itu seharusnya diberikan pujian dan penghormatan.

“Adakah kita perlu berbangga dengan pujian berkenaan walhal yang menjalankan tugas ketika itu adalah sukarelawan bukannya penjawat awam.

“Saya belum dengar lagi pujian atau sanjungan diberikan oleh orang awam kepada perkhidmatan awam yang bertugas di PPV dan menceritakan orang (yang bertugas) di pusat berkenaan keluar untuk membantu.

“Pujian yang diterima kebanyakan hanyalah pada kelancaran proses untuk mengambil suntikan vaksin itu sahaja.

“Sebagai perkhidmatan awam, kita kena keluar membantu. Kita ini bukannya asing, kita (penjawat awam) ini dilantik untuk bantu kerajaan selesaikan masalah rakyat,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.