Siasatan Penuh, Kebajikan Mangsa Kemalangan Jadi Prioriti Kerajaan-PM

34

27 MEI : Kerajaan akan memastikan siasatan sepenuhnya kemalangan tren perkhidmatan  Transit Aliran Ringan (LRT) di Laluan Kelana Jaya dapat dilaksanakan serta langkah-langkah penambahbaikannya bagi memastikan insiden tersebut tidak berulang. 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata,  prioriti kerajaan adalah untuk memastikan kesihatan dan kebajikan mangsa-mangsa terjamin dan terbela, dan siasatan penuh dijalankan secepat mungkin. 

“Alhamdulillah, kedua dua perkara ini sudah dilakukan dan sedang berjalan. Mereka yang tercedera sudah dirawat dan mangsa yang kritikal diletak di bawah perhatian rapi doktor. 

“Kepada semua mangsa yang sedang dirawat, saya doakan mereka semua diberi kesembuhan dan dapat kembali meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya, hari ini. 

Terdahulu, Perdana Menteri hari ini melawat mangsa-mangsa kemalangan LRT yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Terdahulu, tiga penumpang yang terbabit dalam pertembungan dua tren Transit Aliran Ringan (LRT) di Laluan Kelana Jaya berdekatan Stesen LRT KLCC, 24 Mei lalu mengalami pendarahan otak dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pengarah HKL, Datuk Dr Heric Corray, berkata pihaknya melakukan pembedahan terhadap pesakit berkenaan dan mereka dilaporkan stabil, manakala seorang lagi penumpang perlu menjalani rawatan resusitasi serebrum. 

Menurutnya, pihaknya mula menerima 67 penumpang yang cedera akibat kemalangan itu dan seramai 61 penumpang dibenarkan pulang di samping 300 petugas HKL terbabit dalam kerja merawat mangsa.-Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.