Rakyat Malaysia terima lebih 2.6 juta dos vaksin

23

27 MEI: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, mengesahkan Kementerian Kesihatan (KKM) sudah memberikan
lebih 2.6 juta dos vaksin COVID-19 kepada rakyat Malaysia, sehingga semalam dengan lebih 64 peratus daripadanya mendapat perlindungan sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Dr Adham berkata secara keseluruhannya KKM sudah memberi sebanyak 2,605,036 dos vaksin COVID-19 setakat semalam, dengan 1,667,280 individu sudah menerima dos pertama.

“Jumlah penerima dos pertama itu bersamaan hampir tujuh peratus daripada kira-kira 24.3 juta populasi berusia 18 tahun ke atas di negara ini, yang disasarkan untuk menerima vaksin COVID-19 bagi membentuk imuniti kelompok.

“Selain itu, hampir sejuta individu, iaitu 937,756 orang sudah mendapat perlindungan lengkap dengan menerima dua dos vaksin, setakat semalam,” katanya dalam satu ciapan menerusi akaun Twitternya hari ini.

Berdasarkan data dikongsi Dr Adham di Twitter, Kuala Lumpur kini mendahului pemberian dos pertama vaksin dengan 264,882 dos, disusuli beberapa negeri lain antaranya Selangor (222,802), Sarawak (174,562), Johor (145,915), Perak (142,116) dan Sabah (120,841).

Terdahulu, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) mengesahkan sebanyak 1,261,000 dos telah ditawarkan dalam pusingan kedua pemberian vaksin AstraZeneca secara sukarela sudah ditempah dengan 275,208 dos
telah ditempah oleh warga emas sewaktu inisiatif ini mula dibuka dari 23 Mei sehingga semalam.

CITF berkata, seramai 29,183 orang dalam senarai menunggu vaksin Astrazeneca sebelum ini telah dimasukkan ke dalam senarai giliran kali ini.

Untuk rekod, sebanyak 959,609 tempahan bagi penduduk Malaysia berumur 18 tahun ke atas telah dipenuhi semalam.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.