Rakyat boleh pilih 3 jenis vaksin tidak lama lagi

1,835

27 MEI: Rakyat Malaysia dijangka boleh memilih jenis vaksin sama ada Pfizer, Sinovac atau AstraZaneca untuk disuntik ke dalam badan mereka tidak lama lagi.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata  pihaknya sedang meneliti untuk memberikan pilihan itu kepada orang ramai melalui aplikasi MySejahtera.

“Saya ingin memberikan pilihan kepada orang ramai, di mana mereka boleh memilih vaksin apa yang akan mereka terima. Ini akan dilakukan melalui MySejahtera, yang akan segera dilakukan penambahbaikan,” katanya dalam sidang media khas secara maya hari ini.

Dalam pada itu, Khairy juga menafikan dakwaan berlaku pengasingan pemberian vaksin mengikut kaum dan agama dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dan menegaskan tuduhan itu sangat tidak bertanggungjawab.

“Seramai 943 individu diberi suntikan vaksin, iaitu 252 dos Comirnaty dan 691 lagi Sinovac di PPV Kompleks Sukan Desa Tasik, Isnin lalu. Daripada jumlah ini, 169 Islam dan 83 bukan Islam adalah penerima vaksin Comirnaty, manakala 142 Islam dan 549 bukan Islam menerima Sinovac.

“Bagaimanapun, isu timbul sebab seramai 42 daripada jumlah itu yang terdiri daripada bakal jemaah dan petugas haji, dijadualkan menerima vaksin di PPV terbabit.

“Selaras keputusan Kerajaan Arab Saudi setakat ini, yang kita tahu hanya mengiktiraf Comirnaty dan AstraZeneca, maka 42 orang terbabit diberikan vaksin Comirnaty pada tarikh berkenaan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Khairy berkata demikian menjawab kekeliruan berkenaan tercetus ketika pemberian vaksin, membabitkan masyrakat Islam dan bukan Islam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kompleks Sukan Desa Tasik di sini, Isnin lalu.

Ketika kejadian, ada pihak mendakwa pemberian vaksin Comirnaty keluaran PfizerBioNTech hanya diberikan kepada individu Islam, manakala bukan Islam menerima Sinovac.

Bagaimanapun, Khairy menjelaskan penerima sebaliknya hanya diasingkan mengikut jenis vaksin mengikut ruang suntikan bagi memastikan tiada kesilapan ketika suntikan dilakukan.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menafikan sekeras-kerasnya tuduhan disifatkan tidak benar dan sangat tidak bertanggungjawab itu.

Sebelum ini, Kerajaan Arab Saudi dilapor menetapkan prasyarat wajib bagi ibadah haji, iaitu pengambilan vaksin COVID-19 samada Comirnaty, Astrazeneca, Johnson&Johnson atau Moderna sahaja.

Khairy berkata, pihaknya kini giat mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Arab Saudi berhubung status penerima vaksin Sinovac dan lain bagi tujuan berkenaan.

“Kerajaan giat mengadakan perbincangan bersama negara lain dan badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mengiktiraf setiap jenis vaksin digunakan di Malaysia ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy mengesahkan Malaysia dijangka akan menerima lebih 25 juta dos vaksin Pfizer-BioNtech pada suku tahun ketiga.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia susulan perjanjian tambahan sebanyak 12.8 juta dos telah ditandatangani Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dengan syarikat pengeluar vaksin itu

“Ini menjadikan jumlah dos vaksin Pfizer yang telah ditempah kerajaan meningkat kepada 44.8 juta atau cukup untuk 70 peratus daripada jumlah populasi,”jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.