Polis rakam keterangan Tajuddin, Syed Saddiq kes langgar SOP

95

27 MEI: Polis sudah merakamkan keterangan bekas Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berhubung kes pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) oleh Ahli Parlimen Pasir Salak itu, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan polis sudah selesai merakam keterangan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Tajuddin hari ini.

Beliau berkata, selain Tajuddin dan Syed Saddiq polis juga sudah merakam keterangan tiga kakitangan Prasarana bagi melengkapkan kertas siasatan kes pelanggaran SOP oleh Ahli Parlimen Pasir Salak berkenaan ketika sidang media berkaitan kemalangan LRT Laluan Kelana Jaya, baru-baru ini

“Kita akan memanggil beberapa lagi individu termasuk petugas media yang hadir pada sidang media berkenaan untuk membantu siasatan sebagai saksi,” katanya kepada media, hari ini.

Terdahulu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, tiba di  IPD Dang Wangi, kira-kira jam 12.30 tengah hari dan berada di situ untuk proses rakam keterangan selama satu jam setengah.

Beliau dirakam keterangan berhubung satu ciapan di akaun Twitternya  mengenai tindakan Tajuddin yang tidak memakai pelitup muka ketika sidang media berkenaan.

Sementara itu, tiga kakitangan Prasarana tiba di IPD berkenaan kira-kira jam 3.40 petang sebelum Tajuddin yang pada awalnya dijadualkan hadir ke IPD Dang Wangi tengah hari tadi tiba di IPD Dang Wangi kira-kira sejam kemudian.

Sebelum ini media melaporkan Mohamad Zainal mengesahkan polis menjalankan siasatan susulan video yang tular di media sosial menunjukkan Tajuddin tidak memakai pelitup muka ketika mengadakan sidang media mengenai insiden kemalangan membabitkan dua tren LRT  di Stesen LRT Kuala Lumpur, kelmarin.

Berdasarkan gambar dikongsikan oleh Syed Saddiq di Twitternya Tajuddin dilihat hanya memakai pelindung muka tanpa memakai pelitup pada sidang media terbabit.

Berikutan itu, polis membuka satu kertas siasatan, kelmarin mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkutan) 2021.

Langkah berkenaan membolehkan polis melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan seterusnya, sama ada dikenakan kompaun atau dituduh di mahkamah.

Bagaimanapun, Tajuddin, bertindak ‘kunci mulut’ selepas memberi keterangan kira-kira kepada polis di IPD Dang Wangi berhubung kes pelanggaran SOP olehnya dalam satu sidang media berkaitan kemalangan LRT, baru-baru ini.  

Malah, wakil media yang menunggu Ahli Parlimen Pasir Salak itu sejak jam 12 tengah hari lagi hampa apabila Tajuddin didapati kereta dinaikinya terus berlalu pergi meninggalkan kawasan itu sejurus beliau selesai memberi keterangan kepada polis di IPD Dang Wangi, hampir jam 6 petang tadi.

Terdahulu, kereta Mercedes Benz berwarna perak yang dinaiki Ahli Parlimen Pasir Salak itu dilihat masuk ke perkarangan IPD Dang Wangi pada jam 4.45 petang, tadi sebelum dilihat beredar dari situ sejam kemudian.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.