PKPD di beberapa lokaliti babitkan empat negeri bermula lusa

27

27 MEI: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di tiga lokaliti di Mukim Sitiawan, Manjung, Perak selama 14 hari, bermula lusa.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD itu dikenakan selepas Kementerian Kesihatan (KKM), mengesahkan Mukim Sitiawan merekodkan 135 kes dalam tempoh 10 Mei sehingga 23 Mei 2021, sekali gus menyumbangkan sebanyak 58.7 peratus kes di daerah Manjung.

Katanya, KKM melaporkan, berlaku peningkatan kes secara mendadak dalam kawasan berkepadatan tinggi dan jangkitan dalam komuniti di mukim ini, membabitkan Pekan Sitiawan, Pekan Ayer Tawar, Pekan Kampung Koh, Pekan Pasir Panjang serta Bandar Seri Manjung. 

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Mukim Sitiawan, Manjung, Perak berkuatkuasa 29 Mei sehingga 11 Jun 2021,” katanya menerusi kenyataan berhubung perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), hari ini.

Ismail Sabri berkata, PKPD turut dilaksanakan di tiga lokaliti, iaitu Bandar Triang, Pekan Kemayan dan Gugusan Mendi di Bera, Pahang selama dua minggu, bermula lusa.

“Arahan ini dikenakan selepas berlaku peningkatan kes amat ketara di lokaliti terbabit apabila sebanyak 76 kes positif direkodkan hasil daripada 1,258 ujian saringan dijalankan KKM dengan kadar positiviti adalah 6 peratus.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di tiga mukim seperti dinyatakan berkuatkuasa 29 Mei sehingga 11 Jun 2021.

“PKPD ini membolehkan KKM menjalankan pengesanan awal kes COVID-19 supaya dapat diasingkan secepat mungkin dan menyekat penularan kes ke lokaliti lain,” katanya.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, PKPD juga dilaksanakan di Mukim Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu selama 14 hari, bermula lusa.

Jelasnya, KKM mendapati berlaku peningkatan kes amat ketara dalam masa singkat di lokaliti terbabit apabila sebanyak 37 kes positif direkodkan hasil daripada 213 ujian saringan dijalankan dengan kadar positiviti adalah 17.4 peratus.

Penularan kes di semua lokaliti itu, katanya, turut berlaku dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Mukim Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu berkuatkuasa 29 Mei sehingga 11 Jun 2021,” katanya.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, pelaksanaan PKPD dibuat di Kampung Baru Durok, Keningau, Sabah selama dua minggu, bermula lusa.

Tindakan itu dikenakan kerana daripada 158 ujian saringan dijalankan KKM di lokaliti terbabit, sebanyak 28 kes positif direkodkan dengan kadar positiviti adalah 17.72% peratus.

Dalam masa singkat, katanya, turut berlaku peningkatan kes amat ketara dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, PKPD turut dilaksanakan di Kampung Mook, Kinarut, Papar, Sabah selama 14 hari, bermula lusa.

Sebanyak sembilan kes positif, katanya, direkodkan menerusi 35 ujian saringan dijalankan KKM sehingga kini di lokaliti itu dengan kadar positiviti adalah 25.7 peratus.

Kes menular turut berlaku di semua lokaliti terbabit dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Kampung Mook, Kinarut, Papar, Sabah berkuatkuasa 29 Mei sehingga 11 Jun 2021,” katanya. Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.