Penamatan khidmat Tajuddin bukti ketegasan kerajaan

28

27 MEI: Penamatan khidmat Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif Prasarana Berhad (PRASARANA) membuktikan kerajaan bertindak tegas terhadap kepimpinan yang tidak profesional dan tiada sensitiviti.

Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Perak, Muhammad Faizul Mohamed Ismail, berkata keputusan itu juga melambangkan kerajaan tidak berkompromi dengan pemimpin yang gagal menghormati sensitiviti rakyat dan tiada sikap profesional semasa menjalankan tugas.

Katanya, Tajuddin adalah antara pemimpin lama dalam UMNO dan paling lantang menyuarakan pandangan berkaitan isu rakyat, namun tatacaranya ketika mengendalikan sidang media kemalangan tren transit aliran ringan (LRT), kelmarin langsung tidak mencerminkan sikap pemimpin yang diberi amanah mewakili kepentingan rakyat.

MUHAMMAD FAIZUL

“Maka, tindakan kerajaan menamatkan perkhidmatan beliau adalah tepat dan pantas juga bukti ketegasan yang diambil terhadap pemimpinnya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Muhammad Faizul berkata, cara menjawab semberono dan tidak prihatin dipamerkan Tajuddin pada sidang media berkenaan menyebabkan sebahagian besar rakyat Malaysia terkesan.

Sindiran berbaur perkauman ditunjukkannya kepada seorang wartawan Phoenix TV dari China juga secara langsung, memberikan tanggapan buruk berhubung tahap profesionalisme wakil kerajaan ketika menangani insiden nahas serius membabitkan keselamatan orang awam.

“Semoga peristiwa ini menjadi pengajaran buat semua pemimpin di Malaysia dan harapan kita agar peristiwa sama tidak lagi berulang,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.