MITEC beroperasi sebagai PPV terbaharu, Isnin ini

65

27 MEI: Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur akan beroperasi sebagai pusat pemberian vaksin (PPV), bermula Isnin ini.

Pengerusi Prisma Galeri Sdn Bhd, Tan Sri Abdul Rahman Mamat, berkata pengoperasian terbaharu itu selaras langkah kerajaan membabitkan semua pihak, termasuk sektor swasta dalam usaha membendung penularan jangkitan COVID-19 di negara ini.

Katanya, MITEC yang juga anak syarikat milik penuh Naza Corporation Holdings (NCH) akan bersama-sama memainkan peranan dan membuka pintu kepada usaha bermakna untuk memerangi pandemik terbabit.

“Penting dalam tempoh mencabar ini untuk kerajaan dan sektor swasta bersama-sama membantu negara, khususnya bagi mencapai imuniti kelompok serta melandaikan lengkuk jangkitan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

ABDUL RAHMAN

Pemangku Ketua Pegawai Operasi MITEC, Mala Dorasamy, berkata dalam fasa percubaan pengoperasi di PPV itu, pihaknya menjangkakan sebanyak 2,600 dos diberikan setiap hari dan ketika ini, persediaan daripada segi keselamatan serta kebersihan diutamakan.

“Ia dijangka meningkat dari 5,000 dos ke 8,000 dos sehari, malah MITEC akan membantu individu mempunyai masalah pergerakan.

“Dalam memenuhi prosedur operasi standard (SOP), hanya satu pintu masuk dan keluar dibuka, malah cuma Mereka yang berdaftar dibenarkan masuk,” katanya.

Pusat meliputi kawasan seluas kira-kira 30 hektar itu mempunyai ruang seluas 51,000 meter persegi dan mampu menampung kapasiti besar.

Operasi pusat itu dijangka menerima individu bagi kategori warga emas dan dapat membantu mengurangkan kesesakan di PPV sedia ada.

“Pengendalian operasi di MITEC bakal dijalankan pegawai dan kakitangan Jabatan Kesihatan Titiwangsa serta Jabatan Kesihatan Manjalara,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.