Malaysia-PBB Komited Selesai Konflik Myanmar, Palestin

17

27 MEI: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpandangan bahawa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ASEAN boleh bekerjasama dalam mencari jalan penyelesaian menangani krisis politik di Myanmar, terutamanya melalui Five-Point Consensus yang telah dicapai semasa Mesyuarat Pemimpin-Pemimpin ASEAN tersebut.

Pandangan itu disuarakan selepas Muhyiddin menerima panggilan telefon daripada Setiausaha Agung PBB, TYT António Guterres bagi mengadakan perbincangan secara mendalam mengenai isu-isu berkaitan Myanmar dan Palestin.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) memaklumkan Perdana Menteri dan Setiausaha Agung PBB sama-sama menyatakan rasa kesal dan bimbang mengenai situasi keselamatan di Myanmar yang tidak menunjukkan perkembangan yang positif. 

“Malaysia juga telah memaklumkan bahawa pelantikan suatu Utusan Khas Pengerusi  ASEAN sedang dimuktamadkan dalam usaha untuk mencari jalan penyelesaian secara damai demi kepentingan rakyat Myanmar.

“Perdana Menteri dan Setiausaha Agung PBB juga bersetuju supaya semua pihak yang terlibat harus terus bekerjasama secara konstruktif dengan tujuan untuk memastikan kestabilan politik dan ekonomi di Myanmar,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Menerusi perbincangan tersebut Muhyiddin turut memaklumkan bahawa Malaysia dan negara-negara ASEAN yang lain telah mengadakan pertemuan pada April  yang lalu bagi mencari jalan penyelesaian untuk menangani krisis di Myanmar.

Mengenai situasi di Palestin, PMO memaklumkan Perdana Menteri dan Gutteres  menyatakan rasa dukacita di atas keganasan yang dilakukan oleh tentera Israel ke atas rakyat Palestin di Wilayah Palestin yang diduduki. 

PMO berkata, Malaysia mengutuk sekeras-
kerasnya pencerobohan yang telah dilakukan oleh tentera Israel ke atas rakyat Palestin yang sedang barricade di Masjid Al-Aqsa pada 7 Mei yang lalu. 

Dalam hal ini, Perdana Menteri telah menzahirkan rasa syukur dan mengalu-alukan gencatan senjata oleh kedua-dua pihak, Israel dan pejuang Palestin di Gaza. 

“Perdana Menteri telah menyatakan sokongan atas usaha PBB dan negara-negara yang terlibat supaya pihak yang bertelagah mematuhi gencatan senjata serta mencari jalan penyelesaian yang berkekalan bagi menamatkan konflik tersebut.

“Perdana Menteri dan Setiausaha Agung PBB sepakat menyatakan bahawa penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin perlu dihentikan serta merta dan amat perlu untuk mencari penyelesaian terbaik bagi memastikan keamanan yang berpanjangan untuk kedua-dua belah pihak.

“Atas dasar itu, Perdana Menteri menegaskan pendirian Malaysia yang konsisten bagi penubuhan (negara) Palestin yang bebas dan merdeka dari belenggu penjajahan Israel menerusi penyelesaian dua negara, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin, “katanya. 

Terdahulu, sesi panggilan telefon tersebut yang dilakukan Guterres ke atas Muhyiddin bagi membincangkan isu Myanmar dan Palestin jelas menunjukkan bahawa PBB mengiktiraf peranan penting yang dimainkan oleh Malaysia dalam isu Myanmar dan Palestin di peringkat antarabangsa. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.