Berita Kuala Terengganu dikenakan PKPD tidak benar

34

27 MEI: Dakwaan kononnya daerah Kuala Terengganu bakal dikenakan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebagaimana di Besut susulan peningkatan kes COVID-19 adalah tidak benar.

Justeru itu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik menyeru orang ramai tidak terpengaruh atau panik dengan khabar angin pelaksanaan PKPD di daerah Kuala Terengganu.

“Belum ada perintah PKPD diputuskan di Kuala Terengganu. Sebanyak 32 sekatan jalan raya (SJR) telah diadakan di sekitar negeri ini.

“Tindakan polis mengadakan sekatan jalan raya (SJR) di beberapa lokasi di sekitar pusat bandar adalah bertujuan untuk mengurangkan kemasukan kenderaan yang dilihat masih lagi banyak,” katanya kepada media, hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial hari ini apabila Kuala Terengganu bakal dikenakan PKPD yang memberi kegusaran kepada orang ramai. 

Berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan negeri, setakat semalam, daerah Kuala Terengganu mencatatkan 309 kes positif Covid-19 dengan tiga mukim berada dalam zon merah iaitu Bukit Besar, Pengadang Buluh dan Manir.

Sementara itu, Roslee memaklumkan sebarang pergerakan individu dalam daerah sama masih boleh dilakukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 walaupun selepas pukul 8 malam.

“Tiada sekatan pergerakan pada waktu tersebut namun kita menggalakkan masyarakat berada di rumah sekiranya tiada sebarang tugasan atau urusan mustahak,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.