16 sekeluarga urus jenazah dikompaun RM32,000

59

27 MEI: Seramai 16 ahli keluarga dan seorang pengurus tempat pengebumian di Jalan Sungai Tiram di Ulu Tiram, Johor Bahru, Johor dikompaun selepas tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana menguruskan jenazah melebihi jumlah individu dibenarkan, semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak, berkata ahli keluarga terdiri daripada 10 lelaki dan enam wanita tempatan berusia 18 sehingga 86 tahun itu dikesan melanggar melakukan kesalahan itu pada kira-kira jam 11 pagi hasil aduan orang awam.

“Kita terima aduan mengatakan bahawa terdapat ramai orang berkumpul di tempat pengebumian terbabit.

“Hasil pemeriksaan, kita dapati mereka tidak mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana bilangan kehadiran ahli keluarga yang dibenarkan bagi tujuan berkenaan tidak melebihi 10 orang sahaja,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohd Sohaimi berkata, setiap ahli keluarga itu dikompaun sebanyak RM2,000, manakala pengurus lelaki berusia 51 tahun terbabit dikompaun RM10,000 mengikut Peraturan 16 Akta Pencegahan dan Kawalan Peraturan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Kawasan Tempatan yang Dijangkiti) 2021.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.