Video tular sekeluarga mati di rumah tidak benar

124

26 MEI: Polis menafikan satu keluarga meninggal dunia akibat COVID-19 di sebuah rumah di Taman Merdeka, Melaka seperti dipaparkan sebuah video yang tular di media sosial, sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata sehingga kini tiada sebarang laporan diterima pihaknya berhubung kes itu.

“Kita nafikan kejadian kematian akibat COVID-19 seperti ditularkan itu berlaku di daerah Melaka Tengah ini.

“Setakat ini tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kes kematian seperti didakwa,” katanya kepada sebuah portal, hari ini.

Video berdurasi 20 saat itu, memaparkan beberapa petugas lengkap mengenakan pakaian perlindungan diri (PPE) sedang mengangkat mayat ke dalam trak polis.

Kematian itu didakwa berlaku selepas keluarga terbabit yang sedang menjalani kuarantin di rumah, tidak menghadiri janji temu dibuat Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melakukan saringan.

Afzanizar berkata, pihaknya menasihati orang ramai supaya lebih bertanggungjawab dalam menyebarkan berita bagi mengelakkan kekeliruan.

“Orang ramai diminta tidak menyebarkan berita palsu sehingga wujud keadaan panik kepada masyarakat.

“Tindakan itu adalah kesalahan dan boleh diambil tindakan mengikut undang-undang,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.