Tingkatkan Pematuhan SOP, Elak Kanak-Kanak Dijangkiti-UNICEF

12

26 MEI: Jumlah terkini data kes jangkitan virus COVID-19 dalam kalangan bayi dan kanak-kanak di negara ini adalah amaran kepada semua pihak agar mempertingkatkan pelbagai langkah berjaga-jaga.

Justeru, Wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) ke Malaysia , Dr Rashed Mustafa Sarwar berkata, pelbagai pihak perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan memastikan persekitaran selamat untuk semua.

Beliau yang juga Wakil Khas UNICEF ke Brunei Darussalam menegaskan masyarakat perlu terus mencari kaedah baharu dan inovatif bagi melindungi kanak-kanak di negara ini.

“Tindakan atau kealpaan kita berhubung langkah keselamatan COVID-19 kini memudaratkan anak-anak kita. Sudah tiba masanya untuk kita menghentikannya tetapi kita masih boleh mengubah haluan.

“Masa depan jutaan kanak-kanak bergantung terhadap tindakan yang kita lakukan hari ini. Mari kita bersama-sama memastikan keselamatan mereka,” katanya menerusi ciapan di Twitter miliknya, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak dan bayi menimbulkan kebimbangan memandangkan mereka merupakan golongan berisiko dijangkiti selepas warga emas.

Menurut beliau, perkara itu perlu menjadi peringatan kepada semua agar terus bertanggungjawab melindungi golongan itu daripada dijangkiti. 

Katanya, data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan sehingga hari ini, seramai 48,261 orang kanak-kanak dan bayi telah dijangkiti COVID-19 dengan 6,290 adalah merupakan bayi berumur 18 bulan ke bawah

Justeru ibu bapa perlulah mengawasi anak-anak seperti mengelakkan mereka bermain di luar rumah, memakai pelitup muka serta kerap menggunakan cecair pembasmi kuman. 

Setakat semalam, seramai 1,647,183 individu menerima dos pertama dan 935,865 individu melengkapkan dua dos suntikan sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini adalah 2,583,048 dos. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.