Tengku Zafrul nafi hutang negara cecah RM115.52 bilion

43

26 MEI: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menafikan dakwaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa hutang negara sekarang melebihi had kelulusan Belanjawan 2021 dan mencecah sehingga RM115.53 bilion.

Tengku Zafrul berkata, kesemua pinjaman kerajaan setakat ini adalah berdasarkan perbelanjaan yang diluluskan di Parlimen sewaktu pembentangan Belanjawan 2021.

Beliau menegaskan, kerajaan tidak pernah menggunakan Ordinan Darurat untuk meningkatkan atau menambah perbelanjaan melebihi had siling yang diluluskan oleh Parlimen pada Ogos 2020.

Katanya, pinjaman kerajaan setakat April 2021 adalah berjumlah RM81.8 bilion dan setakat Mei adalah sekitar RM99.3 bilion, bukan RM115.53 bilion seperti didakwa sesetengah pihak.

“Jumlah RM81.8 bilion ini merangkumi RM31.6 bilion bagi membiayai semula hutang terdahulu yang matang dan RM50.2 bilion yang sememangnya digunakan untuk membiayai perbelanjaan pembangunan.

“Ini termasuk perbelanjaan daripada Kumpulan Wang COVID-19, yang mana RM17 bilion adalah untuk 2021 merangkumi inisiatif semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dan PKP 3.0 seperti Bantuan Prihatin Rakyat, Program Subsidi Upah, Jaringan Prihatin, Geran Khas Prihatin dan program eBelia,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi video yang dipaparkan di Facebook bagi mengulas pelbagai dakwaan tidak berasas bahawa negara telah meminjam RM115.53 bilion sehingga Mei 2021 untuk berbelanja sesuka hati.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, melihat senarai yang dibentangkan Najib terdapat pinjaman yang dibuat PETRONAS, pinjaman yang dibuat oleh Khazanah dan hasil penjualan kepentingan Telekom dan SilTerra Malaysia.

“Secara terus terang saya tidak tahu mengapa beliau memasukkan pinjaman yang dibuat oleh PETRONAS dan Khazanah serta hasil penjualan SilTerra atau saham Telekom sebagai pinjaman kerajaan.

“Pinjaman PETRONAS dan Khazanah ialah urusan syarikat masing-masing. Mereka meminjam untuk keperluan modal dan aliran tunai syarikat. Ini hutang mereka, merekalah yang bertanggungjawab,” katanya.

Tengku Zafrul juga menegaskan kerajaan hari ini tidak bermain silap mata dalam membuat pinjaman atau perbelanjaan.

Hakikatnya, kerajaan sekarang tidak membuat pinjaman di luar belanjawan tahunan ataupun ‘off-balance sheet’, tidak seperti kerajaan terdahulu.

Katanya, dalam menyebut hutang negara, kita tidak dapat lari dari menyebut hutang legasi 1Malaysia Development Bhd (1MDB), SRC International Sdn Bhd, Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) dan sebagainya.

“Kita telah diminta untuk ‘move on’ tetapi bila membicarakan hutang negara adalah penting rakyat tahu ke mana perginya duit kerajaan yang sepatutnya digunakan untuk membantu rakyat, terutama dalam suasana COVID-19 yang menekan.

“Kesemua liabiliti ini dibuat dulu tetapi selain daripada pembayaran faedah kita juga perlu membayar balik prinsipal mulai sekarang.

“Sebenarnya lebih kurang 15 peratus daripada hutang kerajaan adalah dalam bentuk komitmen jaminan dan hutang 1MDB,” katanya.

Tengku Zafrul menjelaskan, antara 2008 hingga 2017, hutang Kerajaan Persekutuan meningkat lebih 120 peratus, tetapi yang lebih ketara ialah jumlah jaminan kerajaan yang meningkat lebih 240 peratus dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata, kerajaan telah mewarisi keberhutangan yang tinggi dan kapasiti untuk membayar komitmen kewangan yang lebih rendah.

Selain hutang Kerajaan Persekutuan, kerajaan perlu menanggung komitmen jaminan seperti 1MDB, SRC dan SSER kerana projek itu tidak menjana pendapatan bagi membayar prinsipal dan faedah pinjaman, katanya.

“Lebih menyedihkan, banyak di antara pinjaman ini kita langsung tidak tahu apa hasilnya. Analoginya ialah seperti dialami ramai penjamin pinjaman kereta. Kawan lari tak bayar bank kereta hilang kita yang kena bayar. Begitulah keadaannya mengenai banyak hutang legasi yang kita warisi hari ini,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan sudah melunaskan sebanyak RM12.4 bilion hutang 1MDB dan RM3.1 bilion hutang SRC.

Beliau berkata, baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon/keuntungan/faedah bagi bon, sukuk dan pinjaman berjangka adalah sebanyak RM39.8 bilion bagi 1MDB dan RM2.57 bilion bagi SRC.

“Bagaimana untuk ‘move on’ kerana sebab perlu bayar berbilion-bilion untuk pinjaman ini. Kita tidak dapat menggunakan dana ini untuk dibahagikan kepada rakyat semasa pandemik ini. Bayangkan berapa ramai yang kita dapat bantu dengan jumlah ini?

“Akhir kata, rakyat harus maklum bahawa kesemua pinjaman yang digunakan untuk membiayai program kerajaan direkodkan dalam penyata kewangan kerajaan serta akan diaudit.

“Kesemua pengiraan kita, proses pinjaman dan sebagainya adalah mengikut amalan biasa kerajaan yang dipraktikkan di Malaysia sejak dulu lagi,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.