MAQIS rampas daging sejuk beku di Klang

27

26 MEI: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas daging lembu sejuk beku seberat 25 tan dari Australia yang cuba dibawa masuk ke Malaysia menerusi Pelabuhan Barat, Klang, Selangor, pada Isnin lalu.

Pengarahnya, Zamri Hashim, berkata, penahanan daging yang bernilai RM309,541.03 itu dilakukan hasil pemeriksaan rutin yang dijalankan pegawai penguasa MAQIS terhadap sebuah kontena.

Hasil pemeriksaan pada jam 4.20 petang itu, didapati kontena yang membawa dagangan daging lembu sejuk beku itu tidak mematuhi syarat Permit Import dikeluarkan oleh MAQIS.

“Pengimport yang membawa keseluruhan dagangan itu juga gagal mempamerkan logo halal di dalam kotak dagangan yang dikehendaki seperti yang dinyatakan dalam syarat Permit Import yang diluluskan.

“Justeru, semua daging sejuk beku dianggarkan seberat 25,289.30 kilogram (kg) dan bernilai RM309,541.03 ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ni.

Beliau berkata, kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan pada Permit Import MAQIS satu kesalahan mengikut Seksyen 15(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 yang boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 15(2), Akta yang sama.

Katanya, jika disabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.