Mangsa nahas LRT layak mohon bantuan Perkeso-Saravanan

8

26 MEI: Pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang menjadi mangsa kemalangan tren LRT ibu negara kelmarin, layak menerima bantuan faedah di bawah Skim Bencana Pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan berkata, mangsa yang terdiri daripada orang bekerja sendiri (OBS) dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Akta 789, juga layak memohon faedah Perkeso jika kemalangan berlaku ketika mereka menjalankan aktiviti pekerjaan sendiri atau dalam perjalanan pergi bekerja atau balik ke rumah.

Beliau berkata KSM menerusi Perkeso sedia membantu mangsa kemalangan yang layak dengan faedah mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan juga Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789).

“Antara manfaat yang disediakan kepada mangsa kemalangan yang layak mengikut kedua akta itu adalah rawatan perubatan percuma di klinik panel Perkeso atau klinik dan hospital kerajaan menerusi faedah perubatan.

“Mereka yang diberi cuti sakit dan disahkan oleh doktor akan menerima bayaran Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sepanjang tempoh cuti sakit mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, sekurang-kurangnya 47 penumpang dilaporkan cedera parah dalam perlanggaran dua tren LRT masing-masing dari arah Gombak dan Kelana Jaya.

Kedua-dua tren dilaporkan bertembung kira-kira jam 8.45 malam di antara stesen Kampung Baru dan KLCC.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, berkata tren dari Gombak membawa 213 penumpang manakala tren dari arah Kelana Jaya yang tidak membawa penumpang, dipercayai mengalami masalah teknikal sebelum pertembungan berlaku.

Beliau berkata, 166 penumpang dilaporkan mengalami luka ringan dan kesemua penumpang yang cedera telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan beberapa hospital lain.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata jika terdapat mangsa yang disahkan mengalami kecederaan parah sehingga menyebabkan hilang upaya kekal akibat kemalangan terbabit, mereka akan dibantu dengan Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK).

Beliau berkata mereka juga layak menikmati kemudahan pemulihan jasmani iaitu bekalan alat-alat prostetik, ortotik dan ortopedik seperti kaki dan tangan palsu, kerusi roda, tongkat dan kasut khas.

“Mengambil kira keadaan mangsa yang cedera dan mungkin sedang menjalani rawatan, saya menyeru majikan ataupun ahli keluarga mangsa supaya segera mengemukakan tuntutan permohonan faedah di mana-mana pejabat Perkeso yang berdekatan.

“Kementerian dan Perkeso komited untuk memproses tuntutan faedah daripada mangsa kemalangan terbabit dan memastikan segala bantuan disalurkan dengan kadar segera,” katanya.

Untuk sebarang urusan dan pertanyaan lanjut, sila hubungi talian Careline Perkeso di 1-300-22-8000 atau emelkan kepada

Get real time updates directly on you device, subscribe now.