Malaysia Kecewa Belgium Tolak Guna Biobahan Api

18

26 MEI : Malaysia memberi sokongan penuh terhadap tindakan Majlis Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) yang membantah tindakan Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo akan mengharamkan penggunaan minyak sawit sebagai biobahan api di negara itu dalam tempoh terdekat.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata tindakan Belgium itu susulan daripada pelaksanaan perundangan European Union Renewable Energy Directive II (EU RED II) yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Eropah selepas tindakan yang sama dibuat oleh Perancis dan Lithuania. 

“Sebagai pengeluar kedua terbesar minyak sawit dunia, Malaysia amat kecewa dengan tindakan yang dilaksanakan tanpa mengambil kira kesungguhan dan usaha negara ini dalam memastikan industri sawit dilaksanakan dengan mampan. 

“Langkah Belgium jelas bercanggah dengan prinsip amalan perdagangan bebas yang digariskan oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan merupakan satu bentuk diskriminasi terhadap produk sawit Malaysia,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini. 

Mohd Khairuddin memberitahu walaupun jumlah eksport biobahan api berasaskan sawit tempatan ke Belgium adalah kecil, namun tindakan ini boleh mempengaruhi negara lain dan seterusnya memberikan imej negatif terhadap industri sawit negara. 

“Dalam hal ini, Malaysia menyeru agar Belgium dan Kesatuan Eropah (EU) serta negara anggotanya melihat kesan sekatan ini dengan lebih objektif,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Malaysia akan sentiasa komited dalam memastikan industri sawit negara  dilaksanakan secara mampan dan lestari selaras dengan kerangka Matlamat 

Pembangunan Mampan (SDGs) yang dibangunkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Mohd Khairuddin berkata, komitmen ini dapat dilihat antaranya melalui pelaksanaan secara mandatori Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) pada masa ini

“Pada 15 Januari 2021, Malaysia telah pun memulakan tindakan undang-undang terhadap EU serta negara-negara anggotanya berkaitan pelaksanaan EU RED

“Tindakan diambil dengan memfailkan permohonan untuk konsultasi melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian atau Dispute Settlement Mechanism (DSM) di bawah Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO). Proses ini sedang berjalan dan mengikut prosedur yang digariskan oleh WTO, “katanya. 

Tambahnya, Kerajaan melalui Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan sentiasa mempertahankan kepentingan industri sawit negara. 

“Ini demi kelangsungan dan sumbangannya kepada pembangunan sosioekonomi Malaysia, khususnya kepada masyarakat luar bandar,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.