Kes baharu meningkat,63 kes kematian,22 Kluster Dikesan Hari Ini

83

26 MEI:Malaysia merekodkan kes kematian tertinggi akibat jangkitan COVID-19 selama dua hari berturut-turut, iaitu sebanyak 63 kes dilaporkan hari ini, berbanding 60 kes semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata ini sekali gus merekodkan jumlah tertinggi sejak penularan virus itu di negara ini dengan jumlah keseluruhan iaitu 2,432 kematian. 

“Daripada jumlah itu, sebanyak 24 kes kematian melibatkan di Selangor, sembilan kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masing-masing lapan kes di Johor dan Kedah, lima kes di Perak dan tiga kes di Melaka. 

“Selain itu, tiga kes kematian masing-masing dua kes dilaporkan di Sarawak dan Negeri Sembilan, serta masing-masing satu kes di Sabah dan Pahang,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian COVID-19, hari ini. 

Noor Hisham turut memaklumkan bahawa kes baharu COVID-19 menunjukkan peningkatan iaitu 7,478 kes dan daripada jumlah itu, membabitkan 7,285 kes tempatan dan empat kes import. 

Menurut beliau, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes wabak tersebut di negara ini setakat tengah hari tadi sebanyak 533,367 kes.

“Kes sembuh baharu dilaporkan sebanyak 4,665 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh akibat pandemik itu melonjak kepada 464, 277 atau 87.13 peratus daripada keseluruhan kes.

“Jumlah kes yang berada di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini pula adalah seramai 756 orang termasuk dan 377 yang memerlukan bantuan pernafasan. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes aktif sebanyak 60,018 atau bersamaan 12.41 peratus,” katanya. 

Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu terdapat 22 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini dan daripada jumlah itu, lima daripada adalah di Johor iaitu Jalan Bukit Satu, Jalan Satu Ayer Hitam, Jalan Tengar Industri, Jalan Temenggung Dua dan Jalan Harmoni Dua.

Beliau berkata, Selangor pula mencatatkan empat kluster baharu iaitu di Kampung Tun Abdul Razak, Jalan Bersatu, Meranti Jaya 2, dan Lestari Mewah manakala Bandar Lama Machang dan Kampung Kenjong merupakan kluster baharu di Kelantan. 

“Sementara itu, di Pulau Pinang, tiga kluster baharu telah dikenal pasti iaitu di Industri Zon Dagang Satu, Perusahaan Maju Sepuluh dan Jalan Cassia Selatan Lima manakala Pahang juga catat tiga kluster baharu iaitu di Industri Kampung Tersang, Delima Raya dan Chat Lipis. 

“Kampung Semerah Padi serta Jalan Sukma merupakan kluster baharu di Sarawak dan di Sabah, kita turut mengesan dua kluster baharu iaitu di Sungai Pukul dan Kauran Durok. Di Perak, hanya Jalan IKA dikesan merupakan kluster baharu di negeri itu,” katanya. 

Tambah Noor Hisham, jumlah keseluruhan kluster kini berjumlah 2,082 dan sebanyak 1, 489 kluster telah ditamatkan di samping hanya 593 kluster yang masih aktif- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.