KBS pandang serius pendedahan bekas perenang negara

23

26 MEI: Kementeria Belia dan Sukan (KBS) memandang serius pendedahan bekas perenang negara, Cindy Ong berhubung isu gangguan seksual dialaminya, termasuk tindakan tidak bermoral itu didakwa dilakukan jurulatih atlet terbabit.

Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata beliau sudah mengarahkan pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) menghubungi Cindy bagi membantunya membuat laporan polis.

“Gangguan sebegini tidak seharusnya berlaku kepada mana-mana atlet negara kerana setiap atlet dan pegawai harus berada dalam suasana selamat di pusat latihan kebangsaan.

“KBS dan MSN akan memberikan sokongan penuh, malah terus memperkasa platform kepada atlet serta pegawai untuk mudah tampil melaporkan jika ada sebarang insiden berkaitan, seperti Jawatankuasa Perwakilan Atlet MSN; Jawatankuasa Salah Laku dan Gangguan Dalam Sukan MSN dan Suruhanjaya Atlet di bawah Majlis Olimpik Malaysia,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, KBS juga akan terus menyokong inisiatif bagi memastikan isu gangguan seksual dalam kalangan atlet dan bakal atlet dapat ditangani secara menyeluruh.

“Jangan kita normalisasikan gangguan seperti ini tanpa sebarang tindakan, malah kita semua ada keluarga, anak, isteri, adik beradik yang mungkin terdedah kepada ancaman sama.

“Berat untuk kita lalui dengan perasaan tidak dapat melindungi orang yang kita sayang, justeru tidak ada ruang untuk perkara sebegini terus berlaku dan mengganggu usaha pembangunan bakat serta sukan negara,” katanya.

Sebelum ini, Cindy yang pernah meraih lima pingat emas dan dua perak dalam kategori Master di Kejohanan Dunia di Korea Selatan dua tahun lalu, meminta KBS memandang serius isu gangguan seksual dalam kalangan atlet.

Menceritakan kembali pengalamannya ketika bergelar atlet negara, Cindy berkata, dia pernah mengalami pengalaman pahit diganggu secara seksual jurulatihnya sendiri.

Dia turut mengakui jurulatih pernah mengganggunya itu, masih bergiat aktif sebagai jurulatih kelab.

“Saya bukan nak mengheret jurulatih itu ke muka pengadilan sekarang ini, tapi saya mahu pihak berwajib memikirkan solusi atau jalan penyelesaian terbaik sekiranya atlet seperti kami berdepan masalah seperti itu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.