Biden, Putin adakan sidang kemuncak di Geneva

37

26 MEI: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Presiden Rusia, Vladimir Putin dijangka mengadakan sidang kemuncak bersama di Geneva Jun ini.

Pada persidangan yang akan berlangsung pada 16 Jun ini, kedua-dua pemimpin kuasa besar dunia itu dijangka membincangkan pelbagai isu berkepentingan bersama.

“Kedua-dua pemimpin akan membincangkan pelbagai perkara mendesak ketika kita berusaha memulihkan kestabilan hubungan AS-Rusia,” kata Setiausaha Rumah Putih, Jen Psaki.

“Bagaimanapun, pertemuan dengan Putin tidak boleh dianggap sebagai tanda ‘persetujuan’, ketika pemimpin Rusia itu berdepan hubungan dingin dengan Barat,” katanya.

Dalam pada itu, Kremlin turut mengesahkan perincian sidang kemuncak terbabit dan memaklumkan bahawa Biden serta Putin akan membincangkan isu berkaitan kestabilan strategik, penyelesaian konflik dalaman dan pandemik COVID-19.

Biden, dalam lawatan antarabangsa pertamanya sebagai Presiden akan ke Geneva sejurus selepas sidang kemuncak bersama sekutunya dalam Kumpulan Tujuh (G7), Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Kesatuan Eropah (EU).

Pertemuan secara bersemuka bersama pemimpin Kremlin itu diadakan ketika hubungan bertambah dingin antara kedua negara sejak sekian lama.

Washington kini berusaha membina semula hubungan antara kedua-dua pihak dan bekerjasama dalam bidang tertentu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.