Pulang beraya cetus 90 kes COVID-19 di Terengganu

65

25 MEI: Tindakan 30 individu dari zon merah pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama ahli keluarga di Terengganu baru-baru  mencetuskan 90 kes positif Covid-19 di Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Kemaman di Terengganu.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, walaupun pelbagai alasan diberikan golongan berkenaan untuk merentas negeri, namun helah mereka melanggar prosedur operasi standard (SOP) untuk beraya akhirnya terbongkar apabila ramai dalam kalangan ahli keluarga dijangkiti di samping peningkatan mendadak kes dalam lokaliti.

Dr Nor Azimi berkata, di Kuala Terengganu seramai 40 orang disahkan positif COVID-19 hasil aktiviti rentas negeri dilakukan 13 individu manakala kepulangan sembilan individu ke Hulu Terengganu mengakibatkan 26 orang terkena jangkitan.

DR NOR AZIMI

“Di Kemaman pula, daripada lapan individu yang merentas negeri dan daerah akhirnya menyebabkan 24 orang disahkan positif COVID-19.

“Orang larang ziarah Aidilfitri tetapi kita buat juga diam-diam dengan alasan hanya melibatkan anak-beranak dan kalau betul mematuhi SOP, jangkitannya mesti kecil tanpa melibatkan datuk, nenek, mak cik, pak cik, cucu hingga sepupu,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Dalam pada itu, Dr Nor Azimi berkata, larangan mengadakan majlis berbuka puasa, tadarus mahupun gotong-royong turut tidak diendahkan masyarakat hingga jangkitan meluas dalam komuniti.

Malah, beliau berkata, pada Ramadan lalu orang ramai dikesan bersesak di pasar raya untuk membeli-belah sempena Aidilfitri di samping berbuka berkumpulan di kedai makan.

Dr Nor Azimi berkata, dalam kejadian terbaharu sebuah pasar raya ditutup 14 hari kerana 17 pekerjanya disahkan positif COVID-19.

“Pelanggaran demi pelanggaran SOP berlaku, hasilnya kes naik dengan kematian berkali ganda. Bermulanya PKP 3.0, mari kita buka buku baharu untuk kekal mematuhi SOP dan mengehadkan pergerakan. Nasihat ini untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira siapa,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.