Misi Bantuan Palestin Ebit Lew Dapat Kebenaran Wisma Putra

76

25 MEI: Kementerian Luar menyambut baik dan memberi sokongan penuh terhadap usaha pendakwah terkenal, Ustaz Ebit Lew dan delegasinya dalam menjalankan misi kemanusiaan di Mesir bagi membantu rakyat Palestin. 

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata beliau yang mewakili Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein telah mengadakan perbincangan secara maya bersama Ebit mengenai hasratnya yang akan memulakan misi itu bermula hari ini sehingga 30 Mei depan. 

“Urusan serta persediaan berkaitan misi tersebut telah dirancang serta dibuat oleh pihak Ustaz Ebit Lew sendiri melalui kerjasama dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mereka di Mesir.

“Misi kemanusiaan yang dilaksanakan Ebit Lew untuk rakyat Palestin ini juga telah mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk prosedur operasi standard (SOP) semasa,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini. 

Dalam pada itu, biarpun misi ini merupakan inisiatif delegasi Ebit namun Kamarudin menasihati rombongan misi kemanusiaan itu agar sentiasa berhubung, bekerjasama dan mematuhi setiap arahan keselamatan daripada pihak Kedutaan Malaysia di Kaherah serta pihak kerajaan Mesir. 

“Secara dasarnya, Wisma Putra menyokong penuh usaha Ustaz Ebit Lew ini dan turut mengalu-alukan rakan NGO lain untuk menggerakkan pelbagai lagi usaha yang serupa. 

“Kerajaan Malaysia melalui Wisma Putra turut akan menggerakkan bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin. InsyaAllah,”katanya.-Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.