LRT Laluan Kelana Jaya beroperasi seperti biasa

53

25 MEI: Perkhidmatan tren Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya beroperasi seperti biasa bermula jam 6 pagi tadi dengan menggunakan satu landasan sahaja.

Bagaimanapun, perkhidmatan tersebut disokong dengan perkhidmatan bas perantara percuma.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), berkata dengan kekerapan tren setiap 10 minit pada waktu puncak dan 30 minit pada waktu lain, penumpang dijangka perlu menunggu dengan lebih lama sedikit daripada biasa.

“Lima bas perantara dua tingkat percuma dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit pada waktu puncak, akan turut disediakan untuk membawa penumpang ke mana-mana stesen di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Ampang Park,” menurut kenyataan itu yang dimuat naik di laman sosial Facebook RapidKL.

Sehubungan itu, laman Facebook tersebut menjadi tumpuan netizen terutamanya mereka yang menggunakan perkhidmatan tren ke tempat kerja.

Mereka mengajukan beberapa soalan ekoran bimbang berlaku kelewatan ke tempat kerja.

Malam tadi, sekurang-kurangnya 47 penumpang dilaporkan cedera parah, manakala 166 penumpang dilaporkan mengalami luka ringan dalam perlanggaran dua tren LRT, masing-masing dari arah Gombak dan Kelana Jaya.

Kedua-dua tren dilaporkan bertembung kira-kira jam 8.45 malam di antara stesen Kampung Baru dan KLCC.

Ekoran kejadian itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan Kementerian Pengangkutan dan Prasarana Malaysia Berhad untuk melakukan siasatan penuh untuk mengenal pasti punca kemalangan tersebut dan tindakan yang tegas harus diambil dengan segera.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, dilaporkan berkata tren dari Gombak membawa 213 penumpang, manakala tren dari arah Kelana Jaya yang tidak membawa penumpang, dipercayai mengalami masalah teknikal sebelum pertembungan berlaku.

Kes disiasat mengikut Seksyen 201 Akta Pengangkutan Darat 2010.

Semua penumpang yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dan beberapa hospital lain.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.