KKM kesan kes pertama jangkitan varian India B.1.617.2

33

25 MEI: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, mengesahkan kes pertama COVID-19 rakyat tempatan dijangkiti  varian membimbangkan (VOC) India B.1.617.2 dikesan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes berkenaan adalah kontak rapat kepada seorang individu warga India yang bersama dengannya menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Labuan, pada 23 April lalu.

“Warga asing itu dikesan positif COVID-19 ketika tempoh kuarantin manakala rakyat tempatan ini pula mempunyai gejala pada 3 Mei lalu seterusnya menjalani ujian Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) pada hari sama seterusnya dikesan positif sehari selepas itu selepas menjalani Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR).

“Sehingga kini terdapat enam kes yang dijangkiti varian Indian B.1.671 (termasuk sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2),” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata hasil survelan genomik yang dijalankan secara berterusan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ke atas sampel COVID-19 dari 17 Mei 2021 sehingga 23 Mei 2021 telah mengenalpasti dan mengesahkan kewujudan 13 lagi kes VOC.

“Sebanyak 12 kes baharu yang dijangkiti varian South African B.1.351 telah dikesan di Kedah, Perlis, Selangor, dan Johor; dan satu (1) kes baharu warganegara yang dijangkiti varian Indian B.1.617 (sublineage B.1.617.2) telah dikesan di Labuan.

“Sehingga kini, jumlah keseluruhan kes COVID-19 yang dijangkiti oleh varian South African B.1.351 adalah sebanyak 78 kes dan varian Indian B.1.671 (termasuk sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2) adalah sebanyak enam (6) kes,” katanya.

Berikutan itu, Dr Noor Hisham berkata KKM akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik, meningkatkan ujian saringan COVID-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian berkenaan di dalam komuniti.

“Orang ramai dinasihatkan untuk terus mengamalkan Kawalan Pergerakan Kendiri di rumah atau “PKP Kendiri” dengan penuh tanggungjawab. Bagi tempoh dua (2) minggu ini duduklah di rumah jika tiada keperluan yang mendesak untuk keluar.

“Sekiranya perlu keluar, patuhilah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan dan lindungi diri seperti yang sering dinasihatkan oleh KKM. Kita memerlukan tempoh masa ini bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di Malaysia,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.