Kemalangan tren, Prasarana umum bantuan khas RM1,000

65

25 MEI: Prasarana Nasional Berhad (Prasarana) umum bantuan khas RM1,000 kepada semua 213 penumpang Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang terbabit dalam kemalangan tren berhampiran stesen Kampung Baru dan KLCC, malam tadi.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Prasarana Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, pada sidang media selepas meninjau lokasi kejadian kemalangan LRT berkenaan, pagi ini.

Tajuddin berkata daripada jumlah itu seramai 64 penumpang yang dimasukkan ke hospital akan mendapat sokongan kewangan perubatan termasuk bayaran bil hospital sehingga selesai rawatan.

TAJUDDIN

“Saya juga memberi jaminan bahawa Prasarana memberi jaminan akan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) perkhidmatan LRT,” katanya dalam sidang media selepas melawat lokasi kemalangan LRT Kelana Jaya hari ini.

Dalam kejadian pada jam 8.45 malam tadi, seramai 213 penumpang cedera dengan 47 daripadanya cedera parah akibat pertembungan dua tren LRT laluan Kelana Jaya yang berlaku di dalam terowong antara Stesen LRT KLCC dan Stesen LRT Kampung Baru melibatkan satu tren membawa penumpang serta sebuah tren rosak sedang dipandu uji.

Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Sementara itu, Tajuddin menjelaskan beliau lewat membuat tinjauan ke lokasi kejadian kerana lambat menerima laporan mengenai insiden tren bertembung di laluan antara Stesen LRT Kampung Baru dan KLCC, malam tadi.

Berikutan itu Tajuddin berkata membuat keputusan turun ke lokasi kejadian awal pagi tadi

“Semalam pun menteri dah turun. Semua ada di sana. Jangan la suka ‘provoke’, apa gunanya?” katanya pada sidang media selepas melawat lokasi kejadian.

Tajuddin Abdul berkata demikian menjawab kritikan pelbagai pihak yang mempersoalkan mengapa beliau tidak kelihatan di lokasi kejadian tren LRT bertembung malam tadi, sedangkan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong, segera turun ke lokasi walaupun sudah lewat malam.

Mengenai gambar tular di media sosial bahawa tiada penjarakan fizikal dalam gerabak LRT pagi tadi, Tajuddin menegaskan ia gambar lama ketika perintah kawalan pergerakan 2.0.

“Ketika itu kerajaan benarkan pengangkutan awam beroperasi dengan kapasiti penuh,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.