Kemalangan LRT: Arahan Muhyiddin mesti dipandang serius

21

25 MEI: Arahan serta-merta dikeluarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Kementerian Pengangkutan dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menjalankan siasatan penuh bagi mengenal pasti punca kemalangan tren Transit Aliran Ringan (LRT), malam tadi, mesti dipandang serius semua pihak.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata tanggungjawab memastikan keselamatan penumpang adalah peranan amat penting, justeru sudah pasti segala langkah yang perlu akan dilaksanakan untuk memastikan punca kemalangan dikenal pasti.

“Saya amat bersimpati dan saya ucapkan takziah kepada semua mangsa kemalangan LRT tadi, malah saya doakan agar usaha menyelamat berjalan lancar serta semoga Allah mempermudahkan urusan semua mangsa yang cedera.

“Apa yang paling penting, perlu ada jaminan bahawa kemalangan sebegini tidak berulang,” katanya menerusi kenyataan, malam tadi.

Wan Saiful berkata, sementara siasatan dijalankan pihak berkaitan, orang ramai diharap tidak menimbulkan sebarang spekulasi.

“Tumpuan kita mestilah untuk memastikan semua mangsa diberi rawatan sebaiknya,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.