Kanak-kanak tiga tahun jadi korban termuda COVID-19 hari ini

68

25 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan 59 rakyat tempatan dan seorang warga asing adalah mangsa terbaharu maut akibat penularan pandemik COVID-19 di Malaysia, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kematian ialah 2,369 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 60 kes kematian pada hari ini adalah membabitkan 15 kes di Selangor, 10 kes di Johor, masing-masing enam (6) kes di Sarawak dan Kedah, lima (5) kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masing-masing tiga (3) kes di Sabah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, masing-masing dua kes di Negeri Sembilan dan Melaka serta masing-masing satu (1) kes di Pahang dan Terengganu

“Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dengan latar belakang mempunyai sejarah penyakit leukemia menjadi korban termuda akibat COVID-19 di Malaysia setakat ini.

“Kebanyakan pesakit lain yang meninggal dunia hari ini adalah terdiri daripada individu berusia 51 hingga 93 tahun mempunyai latar belakang menghidap pelbagai penyakit kronik seperti darah tinggi, kencing manis, kanser, sakit jantung, manakala sembilan lagi tiada sejarah penyakit kronik,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu Dr Noor Hisham berkata Malaysia mencatatkan kes harian tertinggi apabila KKM mengesahkan 7,289 kes positif baharu COVID-19 hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif 525,889 kes termasuk 63,458 kes aktif dan 460,062 kes atau 87.5 sudah sembuh.

Beliau berkata KKM juga mengesahkan jumlah kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) kini naik kepada 726 pesakit dengan 373 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Selangor yang terus konsisten merekodkan kes positif melebih 2,000 kes, ia diikuti Johor, 664 kes; Kuala Lumpur, 604 kes; Sarawak, 513 kes; Kelantan, 425 kes; Negeri Sembilan, 410 kes; Pulau Pinang, 380 kes; Kedah, 336 kes; Terengganu, 268 kes, Sabah, 266 kes; Melaka, 258 kes, Perak, 218 kes dan. Pahang, 211 kes.

“Hanya dua wilayah yang merekodkan kes dua angka biarpun terdapat peningkatan kes iaitu Labuan, 63 kes dan Putrajaya, 23 kes manakala Perlis, lapan kes,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham juga mengesahkan 15 lagi kluster baharu COVID-19 dikesan di seluruh negara hari ini dengan 10 daripadanya membabit kluster tempat kerja, empat komuniti dan satu kluster keagamaan.

Beliau berkata dengan pertambahan itu jumlah kluster COVID-19 di Malaysia kini mencecah 2,060 kluster termasuk 1,483 sudah tamat dan 577 kluster masih aktif

Get real time updates directly on you device, subscribe now.