Pusingan U, polis panggil individu rakam

32

25 MEI: Polis Pulau Pinang meminta individu merakam video berapa kenderaan membuat pusingan U dan memandu secara melawan arus di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, Jelutong supaya tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata polis sedang menjalankan siasatan terhadap kejadian itu bagi mengenal pasti tarikh dan masa serta pemandu kenderaan terbabit.

Jelasnya, mereka yang menyaksikan kejadian itu juga diminta tampil menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu siasatan.

“Terdapat satu klip video memaparkan beberapa kenderaan membuat pusingan U secara haram dan memandu melawan arus di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang dipercayai tular di media sosial tadi.

“Justeru, saya memohon individu yang merakam video terbabit dan menyaksikan kejadian supaya tampil ke Pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Timur Laut atau menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Erma di talian 017-6652405 bagi membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan, malam tadi.

Soffian berkata, pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan melanggar peraturan lalu lintas dan membahayakan nyawa orang lain boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000, selain hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan sesuatu lesen memandu bagi tempoh tidak kurang dua tahun dari tarikh sabitan.

“Saya menasihatkan orang ramai, khususnya pengguna jalan raya supaya bertolak ansur dan bersabar sekiranya terperangkap dalam kesesakan lalu lintas, malah jangan sesekali mengambil tindakan membahayakan diri sendiri serta pengguna lain,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.