Doktor pakar kongsi pengalaman rawat mangsa kemalangan tren

120

25 MEI: Walaupun petugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Kuala Lumpur (HKL) terkejut dengan kehadiran  mangsa yang cedera akibat kemalangan tren LRT malam tadi, namun pasukan perubatan hospital berjaya mengawal situasi dalam usaha merawat 213 penumpang yang terlibat dalam kemalangan tren tersebut.

Perkara itu dikongsikan oleh Pakar Perunding Perubatan Kecemasan HKL, Datuk Dr. Alzamani Mohammad Idrose​ menerusi Facebook miliknya yang menerima makluman mengenai insiden tersebut sebaik masuk bekerja pada pukul 10 malam semalam.

“Difahamkan kira-kira 30 minit sebelum saya masuk bekerja, para petugas lain dikejutkan dengan kehadiran tiga pesakit kritikal yang datang serentak sebelum 12 buah ambulan tiba lima minit kemudian.

“Susulan itu saya memberikan satu taklimat ringkas di zon merah serta kuning yang tidak terlibat dengan kes-kes Covid-19 dan semua petugas syif petang diarahkan untuk tidak pulang bagi bersama-sama membantu petugas syif malam menyelesaikan setiap kes. 

“Penyelia-penyelia, buka katil-katil kanvas di zon-zon tambahan. Team leader malam, agihkan semua staf untuk ambil pesakit. Sister, gunakan tag lain warna untuk asingkan pesakit insiden dan pesakit yang lain. Sila senaraikan semua nama pesakit insiden di papan putih, “katanya. 

Dalam pada itu, Alzamani memberitahu, walaupun semua petugas syif petang keletihan kerana sudah sampai masa untuk pulang, mereka tetap tabah dan sabar malah tiada satu pun wajah yang memperlihatkan riak tidak suka dengan arahan tersebut sebaliknya semua nampak bersemangat.

“Saya bernasib baik kerana selain tiga pakar yang sudah ada, ada lagi pakar-pakar lain yang datang dari rumah yang kemudiannya dibahagi-bahagikan ke setiap zon untuk merawat pesakit bersama pasukan kami.

“Sementara semua itu berlaku, pesakit-pesakit Covid-19 atau yang sudah sedia ada di jabatan tetap dirawat seperti biasa,” ujar beliau.

Tambah beliau, menjelang pukul 12 malam, seramai 67 pesakit sudahpun berada di Jabatan Kecemasan dan Trauma HKL dan pasukan yang ada berkerja dengan efisyen.

“Pasukan kejururawatan telah menyediakan katil-katil di hospital untuk semua yang perlukan Rawatan Rapi (ICU) dan Wad. Daripada 67 pesakit, enam adalah kritikal, 19 separa kritikal manakala 42 adalah tidak kritikal.

“Kami juga memeriksa suhu badan dan memastikan mereka tidak ada gejala COVID-19 semasa memberikan rawatan. Malah bagi setiap pesakit yang perlukan kemasukan wad, ujian RTK antigen atau Gene Expert PCR dilakukan,” katanya. 

Sementara itu, menerusi hantaran sama, Alzamani memaklumkan, kesemua pesakit selesai diperiksa dan telah ada perancangan rawatan menjelang pukul 1 pagi dan satu lagi sesi taklimat dilakukan pada pukul 1.25 pagi sebelum arahan untuk ‘stand down’ diisytiharkan tepat pukul 1.38 pagi.

“Walaupun insiden ini dapat ditangani, ‘loceng’ terus berbunyi bagi kes-kes Covid-19 yang datang ke hospital membawa pesakit yang tercungap-cungap. Dua daripada mereka terpaksa kami ‘tidurkan’ dan pasangkan mesin ventilasi.

“Bencana seperti ini tidak memilih masa malah masih boleh berlaku ketika pandemik dan mengusutkan lagi keadaan namun tidak kira walau apapun krisis yang menimpa, kita harus tenang, rasional, sabar dan bersatu hati menyelesaikan setiap masalah,” ujarnya.

Terdahulu, media melaporkan  seramai 213 penumpang tren LRT laluan Kelana Jaya cedera selepas tren berkenaan brek secara mengejut di Stesen KLCC dari arah Kampung Baru, Kuala Lumpur.- Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.