8 Ahli Keluarga Exco Perak Positif COVID-19

44

25 MEI: Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin mengesahkan lapan ahli keluarga termasuk isterinya disahkan positif COVID-19. 

Namun, Zainol Fadzi sendiri memaklumkan dirinya tidak dijangkiti virus berkenaan selepas keputusan ujian calitan pada Sabtu lalu menunjukkan beliau negatif COVID-19.

Beliau yang juga seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik memaklumkan ahli keluarganya yang disahkan positif COVID-19 ialah isteri, 52, lima anak perempuannya berusia 29 hingga 22 tahun, menantu lelaki berusia 29 tahun dan cucu perempuannya berusia 3 tahun.

“Kesemua mereka tidak menunjukkan gejala yang serius dan kini menjalani kuarantin di kediaman kami di Kampung Attaduri, Langkap di Teluk Intan sehingga 30 Mei ini.

“Mereka kuarantin di rumah dengan pemantauan Pejabat Kesihatan Daerah Teluk Intan kerana tiada simptom yang serius.

“Kecuali anak sulung saya yang mengalami demam dan dimasukkan ke Hospital Teluk Intan pada 19 Mei lalu. Dia kini stabil dan telah dibenarkan keluar wad pada Ahad lepas,” katanya kepada media, hari ini. 

Dalam pada itu, Zainol Fadzi memaklumkan walaupun disahkan negatif wabak tersebut namun beliau tetap menjalani proses kuarantin atas arahan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah berjaga-jaga.

“Saya sudahpun selesai menerima suntikan dos kedua vaksin COVID-19, tetapi saya tetap ambil keputusan untuk kuarantin di rumah berasingan sehingga 30 Mei nanti,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.