Tengku Hassanal sumbang Elaun Diraja ke Tabung COVID-19

45

24 MEI: Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyumbangkan Elaun Diraja selama empat bulan kepada Tabung COVID-19 Pahang.

Sumbangan kepada Tabung COVID-19 Pahang itu adalah kali kedua dilakukan Tengku Hassanal yang sebelum ini mengurniakan Elaun Diraja selama enam bulan ke tabung berkenaan pada 1 April tahun lalu.

Perkara itu dikongsikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di laman media sosial rasmi beliau hari ini, yang turut berterima kasih atas keprihatinan baginda terhadap rakyat Pahang.

“Patik dan rakyat jelata menyanjung tinggi kurniaan ini yang akan digunakan sewajarnya demi menangani apa juga kemaslahatan berkaitan wabak COVID-19,” katanya.

Sumbangan hari ini dilakukan sehari selepas Tengku Hassanal mengurniakan Elaun Diraja selama tiga bulan ke Tabung Pahang4Palestine bagi membantu penduduk di sana yang dizalimi rejim Zionis Israel.

Tabung COVID-19 Pahang dilancarkan kerajaan negeri pada awal pelaksanaan PKP 1.0 khusus untuk membantu rakyat negeri ini yang terkesan dengan pelaksanaan perintah itu yang perlu dilakukan bagi memutuskan penularan pandemik.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.