SKKM kecewa penyedia platform lambat sekat akaun palsu

15

24 MEI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kecewa pihak penyedia platform seperti Facebook, Twitter, Instagram, WhatsApp dan Telegram gagal bertindak pantas dalam menangani isu akaun palsu terutamanya bagi tujuan penipuan.

SKMM dalam satu kenyataan berkata kelewatan tindakan berhubung perkara tersebut dibimbangi akan merencatkan usaha MCMC dalam melindungi pengguna media sosial daripada akaun palsu terutamanya yang menyamar dan menyalahgunakan identiti individu dan entiti lain, yang seterusnya boleh menyebabkan kerugian wang ringgit kepada pengguna.

“Memandangkan platform-platform sedemikian yang tidak dilesenkan kerana beroperasi di luar Malaysia, MCMC amat bergantung kepada tindakan yang dibuat oleh pihak penyedia platform.

“Justeru, MCMC menggesa pihak penyedia platform untuk lebih bertanggungjawab, responsif dan bertindak pantas terhadap setiap laporan yang dikemukakan oleh SKMM,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

SKMM berkata pihak penyedia platform secara langsung mempunyai tanggungjawab bagi memastikan platform yang dihoskan pihak mereka adalah selamat kepada pengguna.

Katanya, tindakan pantas yang diambil adalah penting dan perlu demi melindungi kepentingan serta keselamatan pengguna.

“SKMM sekali lagi ingin menasihatkan pengguna supaya berwaspada, kekal selamat dan menjadi seorang pengguna bertanggungjawab yang mengamalkan penggunaan Internet berhemah. Elakkan daripada menjadi mangsa kepada akaun-akaun palsu dan menyalahgunakan rangkaian media social,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.