Sebar cerita palsu, Aqila Yusri dicari

130

24 MEI: Polis Kajang sedang mengesan akaun Instagram (IG) bernama ‘Aqila Yusri’ kerana dikatakan menyebarkan berita palsu berhubung kes kematian pemanah negara Allahyarham Haziq Kamaruddin dalam satu hantaran klip video di akaunnya baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner, Mohd Zaid Hassan berkata siasatan dibuat selepas polis menerima satu laporan polis orang awam selepas terlihat klip video terbabit pada Sabtu lalu.

“Berikutan itu polis sedang mengesan suspek yang terlibat dalam rakaman video tersebut, kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 AKMM 1998.

“Orang ramai dinasihatkan tidak sewenang-wenang mengulas atau menularkan sebarang maklumat yang tidak sahih. Tindakan ini boleh mendatangkan kegusaran kepada masyarakat amnya,” katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Sebelum ini media melaporkan rakaman video berdurasi 3 minit 34 saat itu dimuat naik melalui akaun Instagram milik penama Aqila Yusri serta status aplikasi WhatsApp.

Video tersebut memaparkan tuduhan kepada KKM punca kematian Allahyarham Haziq Kamaruddin berpunca dari saluran darah tersumbat akibat pengambilan vaksin AstraZeneca dan menyembunyikan punca sebenar kematian.

Semakan mendapati video tersebut telah dibuang daripada akaun berkenaan dan pemiliknya memuat naik hantaran permohonan maaf kepada beberapa pihak yang disebut dalam video tersebut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.