Tindakan tegas jika guna laluan tikus – Polis Kuantan

51

24 MEI: Polis beri amaran keras akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang cuba keluar masuk bandar Kuantan, Pahang secara haram menerusi laluan tikus.

Berikutan itu  tepat jam 12 tengah malam tadi, empat ‘lorong tikus’ di daerah ini ditutup sepenuhnya menggunakan penghadang konkrit dan kawat duri, ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuantan, Pahang, mulai 24 Mei hingga 6 Jun.

Empat jalan tikus yang ditutup adalah Jalan Felda Neram-Bukit Kuantan; Jalan Jabor-MCKIP-Kuantan-Port-Beserah; Jalan Jabor Lama-Alor Batu-Semambu dan Jalan Tanjung Selangor-Jalan Sungai Soi-Jalan Kempadang ke Pekan-KUIPSAS.

Manakala tujuh mukim di daerah Kuantan yang dikenakan pelaksanaan PKPD adalah Beserah, Kuala Kuantan 1, Kuala Kuantan 2, Penor, Sungai Karang, Ulu Kuantan dan Ulu Lepar.

Dengan pelaksanaan PKPD kali ini, seramai 207,967 orang atau 90 peratus penduduk daerah Kuantan di tujuh mukim perlu mematuhi arahan tinggal di rumah selama 14 hari.

Berikutan itu orang ramai dinasihat supaya tidak melalui jalan-jalan tersebut untuk tujuan merentas daerah atau negeri, sebaliknya menggunakan laluan lain yang masih dibuka dan melalui sekatan jalan raya, dengan mengemukakan dokumen kebenaran.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali, berkata pemeriksaan di setiap sekatan jalan raya juga diperketat dengan tapisan individu dibuat lebih teliti bagi memastikan hanya mereka yang dibenarkan sahaja boleh berada di jalan raya.

“Jadi, kepada pengguna jalan raya, saya minta supaya semua mengambil tahu dan juga mematuhi arahan yang telah kita keluarkan.

“Jangan ada rasa marah ataupun menyatakan bahawa ini menyusahkan mereka. Bukan itu tujuan asal kita.

“Tetapi, ini adalah antara perancangan yang mesti kita lakukan bagi memastikan bahawa setiap individu, kumpulan atau pun kenderaan yang masuk ke daerah Kuantan ini, dibuat tapisan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Noor berkata polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang melanggar SOP PKPD selepas ini.

Beliau berkata mana-mana individu yang dikesan melanggari SOP PKPD atau cuba meloloskan diri, akan dikenakan tindakan kompaun serta-merta.

“Bagi yang tidak boleh atau tidak mempunyai kelayakan, minta tolong, kerjasama, supaya berada di rumah.

“Saya nasihatkan dan saya peringatkan, jangan cuba-cuba meloloskan diri melalui sekatan jalan raya yang telah kita adakan.

“Saya terpaksa sebut, tindakan tegas mesti diambil atau pun terpaksa diambil,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.