Pihak berkuasa agama bantu promosi PICK – Muhyiddin

18

24 MEI: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menegaskan usaha mempromosikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) tidak seharusnya terhad kepada kerajaan dan pentadbiran negeri, sebaliknya setiap pihak berkuasa agama perlu memainkan peranan bagi memperbanyakkan program kesedaran kepada masyarakat.

Beliau berkata, usaha itu perlu dijalankan secara bersama memandangkan masih ramai tidak mendapat maklumat tepat berhubung kepentingan dan keperluan pengambilan vaksin terbabit.

“Ini antara perkara saya tekankan pada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Ke-68 pagi tadi, antara lain bagi menyokong PICK yang sedang berlangsung. 

“Saya berharap masyarakat mendapat penjelasan sejelas-jelasnya bahawa keputusan kerajaan dalam isu vaksin adalah berpandukan keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-10 yang bersidang pada 3 Disember 2020, bahawa hukum mengenai penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus dan wajib diambil golongan ditetapkan pihak berkuasa,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik di Facebook, hari ini.

Mesyuarat diadakan secara persidangan video itu, dihadiri ketua kerajaan negeri dan ahli lantikan Yang di-Pertuan Agong.

“Keputusan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah MKI ini juga disembah maklum dan mendapat perkenan dari Majlis Raja-Raja pada 4 Januari 2021.

“Dalam hal ini, saya berharap pihak berkuasa agama menggunakan semua platform ada bagi menguar-uarkan berkenaan PICK, selain mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan, bagi memastikan kadar peningkatan kes harian pandemik terbabit menjadi semakin tidak terkawal, sebagaimana di beberapa negara lain,” katanya. – Oleh FAIZATUL FARHANA FARUSH KHAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.