Peningkatan kes kematian membimbangkan

26

24 MEI : Jumlah kes kematian COVID-19 terus meningkat apabila mencatatkan sebanyak 61 kes hari ini sekali gus merekodkan jumlah tertinggi sejak penularan virus itu di negara ini dengan jumlah keseluruhan iaitu 2,248 kematian. 

Namun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, kes baharu Covid-19 menunjukkan penurunan iaitu 6,509 kes setakat tengahari tadi berbanding semalam 6,976 kes. 

Menurut beliau, kes baharu hari ini membabitkan 6, 489 kes tempatan dan 20 kes import yang menjadikan jumlah keseluruhan kes wabak itu di negara ini setakat tengah hari tadi 448,457 kes.

“Sebanyak 61 kes kematian pada hari ini yang melibatkan 16 kes di Selangor, 11 kes di Johor, masing-masing enam kes di Melaka dan Pulau Pinang, lima kes di Kuala Lumpur, empat kes di Kedah, masing-masing tiga kes di Sarawak, Negeri Sembilan, dan Pahang, dua kes di Terengganu, serta masing-masing satu kes di Perak dan Labuan.

“Kes sembuh baharu dilaporkan sebanyak 3,452 menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh akibat pandemik itu melonjak kepada 456,273  atau 88.0 peratus daripada keseluruhan kes.

“Jumlah kes yang berada di unit rawatan rapi (ICU) ketika ini pula adalah seramai 711 orang termasuk dan 369 yang memerlukan bantuan pernafasan. Ini menjadikan jumlah kumulatif kes aktif sebanyak 60,018 atau bersamaan 11.57 peratus,” katanya menerusi kenyataan media perkembangan harian COVID-19, hari ini. 

Dalam pada itu, Noor Hisham memberitahu terdapat 20 kluster baharu yang telah dikenal pasti pada hari ini dan daripada jumlah itu, empat daripadanya adalah di Selangor iaitu di Jalan Tengkorak, Jalan Bestari Satu, Jalan Dato Sellathevan Empat dan Jalan Jed. 

Beliau berkata, tiga daripada di Wilayah Persekutuan iaitu dua daripada di Kuala Lumpur iaitu Landai Permai dan Kilometer Jalan Enam manakala Patau-Patau di Labuan juga merupakan kluster baharu. 

“Sementara itu di Pulau Pinang, dua kluster dikenal pasti iaitu di Jalan todak serta Jalan Perindustrian Bukit Minyak manakala Melaka, dua kluster juga turut dikesan iaitu di Jalan Usaha Tujuh dan Industri Pengkalan Balak. 

“Jalan Akik dan Dermaga Sembilan merupakan kluster baharu di Johor dan di Sabah kita turun mengesan dua kluster baharu iaitu Deluxe dan Kampung Pedawan yang melibatkan kluster komuniti. 

“Di Pahang, dua kluster baharu turut dikenal pasti iaitu Taman Teratai dan Kilometer Enam Jalan Lipis dan Kluster baharu yang selebihnya adalah di Kampung Pangkal Payung, Kelantan dan Wakaf Tembesu di Terengganu,”katanya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata jumlah keseluruhan kluster kini berjumlah 2,045 dan  sebanyak 1, 475 kluster telah ditamatkan di samping hanya 570 kluster yang masih aktif. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.