Industri pembinaan diseru patuh SOP elak penularan jangkitan

23

24 MEI: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengessa semua penggiat industri pembinaan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pembinaan terkini bagi mengawal penularan virus COVID-19. 

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, melihat peningkatan jangkitan COVID-19 di seluruh negara, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk mengelakkan penularan lebih luas yang mungkin menjejaskan kesinambungan sektor pembinaan.

Menurut beliau, biarpun kerajaan telah membuat keputusan supaya semua kerja pembinaan boleh diteruskan, tetapi SOP perlu dipatuhi sepenuhnya.

“Statistik Majlis Keselamatan Negara (MKN) menunjukkan dari 12 hingga 30 April lalu terdapat 7089 kes Covid-19 di tapak pembinaan dari 25 kluster, manakala dari 1 hingga 19 Mei lalu pula jumlah kes meningkat kepada 880 kes dari 52 kluster.

“Sejak 13 Januari hingga 23 Mei, CIDB Malaysia telah menjalankan pemeriksaan ke atas 2,532 tapak pembinaan, dengan 2,502 mematuhi SOP dan dua tapak tidak patuhi serta diarahkan tutup, ” katanya menerusi kenyataan media di Facebook miliknya, hari ini. 

Dalam pada itu, Fadillah memaklumkan pihaknya telah mengarahkan Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi mempertingkatkan lagi pemantauan dan penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) di tapak bina dan penempatan pekerja binaan.

Beliau berkata, CIDB mempunyai kuasa untuk menutup tapak pembinaan dan juga mengenakan kompaun kepada tapak-tapak pembinaan yang didapati tidak mematuhi SOP yang ditetapkan atau melakukan apa-apa kesalahan. 

“Perkara itu tertakluk di bawah Akta 520 (Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia) dan Akta 446 (Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990).

“CIDB juga mempunyai kuasa untuk mengenakan tindakan tatatertib kepada mana-mana kontraktor yang didapati bersalah yang akan mengakibatkan pendaftaran mereka digantung atau dibatalkan.

“Selain itu, setiap kontraktor juga diingatkan  untuk melantik pegawai-pegawai keselamatan dan kesihatan yang diberi tanggungjawab memantau SOP di tapak bina selain daripada garis panduan keselamatan dan kesihatan yang lain,” katanya.

Tambahnya, dalam tempoh PKP 3.0 yang berkuatkuasa tengah malam ini, kehadiran dan kapasiti pekerja terhad kepada 60 peratus dan waktu operasi tertakluk kepada penetapan pihak berkuasa tempatan.

“Sebarang pertanyaan mengenai operasi sektor pembinaan di sepanjang tempoh PKP boleh diajukan kepada CIDB Careline di talian 03-55673300 yang beroperasi dari hari Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5.30 petang,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.