Pemilik Facebook N9 Radar sah beri keterangan hari ini

21

24 MEI: Pemilik Facebook N9 Radar, mengesahkan pihaknya akan tampil di Ibu Pejabat Polis (IPD) Nilai, hari ini bagi memberi keterangan berhubung isu kedudukan Nilai 3 bukan berada di Negeri Sembilan, sebaliknya di Selangor, seperti dimuat naik di akaun media sosial itu.

Bagaimanapun, sehingga kini, belum dipastikan sama ada pihak terbabit sudah hadir berbuat demikian atau belum.

“Assalamualaikum dan salam sejahtera, pihak admin sudah menerima banyak komen, ‘private message’ (PM) dan ‘direct message ‘DM’ sama ada di Whatsaap atau Facebook, berkaitan panggilan pihak IPD Nilai berhubung satu posting dimuat naik di hantaran kami hari ini.

“Sehubungan dengan itu, atas rasa tanggungjawab, esok (hari ini), pengasas page N9Radar akan tampil memberi keterangan kepada pihak IPD Nilai berhubung isu ini.

“Admin juga memohon agar warganet tidak membuat sebarang komen atau kecaman terhadap pihak polis kerana ini adalah tugas dan tanggungjawab mereka yang perlu mereka laksanakan menurut undang-undang negara, selain terima kasih di atas keprihatinan semua serta mohon doakan agar semua urusan admin page akan berjalan dengan lancar,” menurut kenyataan admin Facebook N9 Radar, malam tadi.

Menerusi satu kenyataan di media sosial itu, N9 Radar berkongsi berita membabitkan kes selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail yang didakwa merentas negeri dari Lembah Klang ke Pusat Perniagaan di Nilai 3, tetapi tidak dikenakan tuduhan atas kesalahan terbabit seperti diputuskan Pejabat Peguam Negara.

Hantaran dibuat menerusi kenyataan sama itu, turut memaparkan penulisan “Nilai 3 kek Selangor oh baru tahu, Achik dia!”.

Susulan itu, semalam, IPD Nilai memulakan siasatan kerana menyifatkan kenyataan terbabit boleh menyebabkan kegentaran awam dan menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

Pihak polis turut menegaskan bahawa Nilai 3 adalah kawasan di dalam Pentadbiran IPD Nilai, Negeri Sembilan, bukan terletak di Selangor.

Siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang menyebabkan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, perkhidmatan.

Justeru, polis meminta pemilik akaun Facebook terbabit hadir ke IPD Nilai untuk memberi keterangan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.