MySejahtera pantau had masa dua jam beli-belah

56

24 MEI: Had masa maksimum dua jam yang dibenarkan kepada pelanggan untuk berada dalam semua premis peruncitan, termasuk pusat beli-belah, bermula esok akan dipantau menerusi MySejahtera.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata rekod di aplikasi itu akan diperoleh sebaik sahaja pelanggan membuat imbasan ketika memasuki premis.

“Pemantauan kita boleh buat secara rawak dahulu dan kita lihat apa yang penting adalah kita memohon kerjasama daripada pemilik premis itu.

ALEXANDER NANTA

“Secara kendiri mereka perlu buat yang terbaik bagaimana hendak memantau pelanggan atau pembeli yang masuk ke premis mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pengumuman Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Pesta Kaamatan dan Hari Gawai 2021 secara maya, hari ini.

Pemilik premis, katanya, disaran untuk sentiasa membuat siaran bagi mengingatkan pelanggan mematuhi had masa dua jam ditetapkan.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) akan membuat pemantauan secara rawak di premis tumpuan ramai.

“Kita juga nasihatkan pelanggan untuk buat kawalan kendiri dan patuhi had masa ditetapkan,” katanya.

KPDNHEP pada Ahad mengumumkan tempoh masa pelanggan di semua premis peruncitan, termasuk pusat beli-belah, dihadkan maksimum dua jam, mengikut prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 membabitkan sektor perdagangan dan pengedaran yang berkuatkuasa 25 Mei 2021.

Justeru, semua premis peruncitan, wajib mengehadkan jumlah pelanggan pada satu-satu masa mengikut keluasan premis perniagaan dengan penetapan seorang bagi setiap empat meter persegi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.