Kuarantin wajib warga asing dilanjutkan 21 hari

34

24 MEI: Kerajaan setuju melanjutkan tempoh kuarantin wajib untuk warganegara Malaysia dan warga asing dari Sri Lanka, Bangladesh, Nepal serta Pakistan yang dibenarkan memasuki Malaysia dilanjutkan daripada 14 kepada 21 hari.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu mengambil kira situasi Covid-19 di seluruh dunia dengan lebih 50 peratus negara melaporkan penularan tiga varian COVID-19.

Ismail Sabri berkata pelaksanaan arahan kuarantin wajib selama tempoh 21 hari ke atas pengembara warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang diberi kebenaran masuk ke Malaysia yang tiba dari India adalah kekal.

Beliau berkata tempoh kuarantin wajib dari semua negara lain dilanjutkan daripada 10 hari kepada 14 hari di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Namun begitu, tempoh kuarantin 14 hari ini akan dilanjutkan selama 7 hari lagi (menjadikan jumlah kuarantin 21 hari) sekiranya terdapat keperluan berdasarkan hasil penilaian risiko yang telah dijalankan pada hari ke-14. Kuarantin tambahan ini akan dilaksanakan di stesen kuarantin yang sama.

“Ujian ulangan RT-PCR COVID-19 dilakukan pada hari ke10. Sekiranya dilanjutkan tempoh kuarantin sehingga 21 hari, ujian ulangan RT-PCR COVID-19 dibuat pada hari ke18. Pelaksanaan ini akan berkuatkuasa serta merta,”katanya dalam satu kenyataan media di sini, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini juga bersetuju untuk memperketatkan SOP pelanjutan tempoh kuarantin wajib ke atas pengembara yang tiba di Malaysia.

Beliau berkata semua pengembara perlu menjalani ujian pengesanan RTPCR COVID-19 tiga (3) hari sebelum berlepas dan hanya keputusan ujian negatif boleh menaiki penerbangan untuk masuk ke Malaysia.

Tambah, Ismail Sabri lagi, semua pengembara perlu menjalani ujian pengesanan RTPCR COVID-19 semasa ketibaan di pintu masuk antarabangsa.

“Justeru, saya menyeru semua pihak marilah kita terus membantu meringankan tugas frontliners dengan memberi kerjasama terhadap pematuhan SOP dan meningkatkan kawalan kendiri.

“Saya yakin kita akan menang dalam perjuangan ini kerana kita pernah berjaya. Sekarang masanya untuk kita berhenti bertelagah dan fokus kepada perjuangan melawan pandemik COVID-19,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.