CITF nafi RM5 bilion hanya untuk 32 juta dos vaksin 

23

24 MEI: Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF), menafikan dakwaan bahawa kerajaan membelanjakan RM5 bilion hanya untuk memperoleh 32 juta dos vaksin, sebaliknya jumlah kewangan itu adalah untuk mendapatkan 73.5 juta dos itu, termasuk kos pelaksanaan program imunisasi terbabit.

Menerusi kenyataannya, CITF berkata, buat masa ini, sebanyak RM3.5 bilion dibelanjakan bagi perolehan vaksin yang mencukupi buat 120 peratus populasi rakyat Malaysia atau seramai 38.5 juta orang.

“Vaksin diperoleh membabitkan jenis dua dos menjadikan jumlah dos diperoleh negara adalah sebanyak 73.5 juta dos.

“Bukan 32 juta dos seperti ditulis seorang individu, Irwan Sanei yang secara tidak langsung gagal menggandakan jumlah dos diperlukan mengikut populasi rakyat Malaysia dan dakwaan itu tidak benar serta mengelirukan,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Kenyataan itu berkata, jika dibandingkan dengan Singapura, negara berkenaan membelanjakan RM3.1 bilion bagi membeli 11.4 juta dos vaksin untuk 5.7 juta rakyatnya.

Amerika Syarikat (AS) pula, katanya, dilaporkan membayar AS$1.95 bilion (RM8.07 bilion) bagi memperoleh 100 juta dos vaksin Pfizer.

Jelasnya, berdasarkan maklumat itu, perolehan vaksin dibuat Malaysia adalah adil dan lebih kompetitif berbanding negara lain.

“Susulan dakwaan Irwan Sanei ini, satu laporan polis sudah dibuat ke atasnya kerana menyebarkan berita palsu,” katanya.

Perkongsian dibuat Irwan Sanei menerusi media sosial di media sosial dan kemudian tular, baru-baru ini, turut memaparkan dia membandingkan peruntukan perolehan vaksin membabitkan beberapa negara, antaranya AS dan Vietnam dengan Malaysia, malah dia turut mendakwa negara ini membelanjakan RM5 bilion hanya bagi 32 juta dos vaksin.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.