13 individu berkumpul dalam rumah, dikompaun RM4,000

20

24 MEI: Seramai 13 individu dikompaun RM4,000 setiap seorang selepas didapati tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila berkumpul tanpa penjarakan fizikal di dalam sebuah kediaman di Kampung Jeniang, Gurun, Kedah, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah, berkata anggotanya dari Balai Polis Gurun menjalankan pemeriksaan di kediaman itu pada jam 10.30 malam.

Sebaik anggota terbabit tiba di lokasi, katanya, didapati 10 lelaki dan tiga wanita berusia antara 27 sehingga 45 tahun berada di dalam rumah berkenaan dan sedang bersembang serta makan tanpa penjarakan sosial.

“Mereka memberi alasan hendak memasang bendera Palestin, namun hasil pemeriksaan mendapati tiada bendera di kediaman berkenaan.

“Namun apa jua alasan, semua mereka didapati tidak mematuhi SOP PKP dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan kompaun,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Adzli berkata, semua individu terbabit diterangkan kesalahan dilakukan mereka dan dikeluarkan kompaun sebanyak RM4,000.

“Hasil pemeriksaan mendapati, semua mereka adalah rakan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.