12 maut, 49 cedera dalam serangan di AS

17

24 MEI: Dua belas orang maut dan sekurang-kurangnya 49 cedera dalam beberapa serangan bersenjata api di seluruh Amerika Syarikat (AS) yang berlaku hujung minggu lalu.

Kejadian berlaku selepas Presiden Joe Biden bulan lepas menyifatkan jenayah keganasan senjata api sebagai epidemik di negara itu.

Serangan maut itu berlaku di New Jersey, Carolina Selatan, Georgia, Ohio dan Minnesota.

Menurut polis, dua terbunuh apabila tembakan dilepaskan di sebuah rumah di Camden, New Jersey pada malam Sabtu dan sekurang-kurangnya 12 orang cedera.

Lebih sadis, seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun dibunuh, manakala 14 lagi cedera ketika menyaksikan konsert di Carolina Selatan.

Polis di Atlanta, Georgia, menemukan tiga mangsa tembakan awal pagi semalam selepas menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tembakan itu. Ketiga-tiga mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, menurut media AS.

Tiga lagi terbunuh dengan lapan lagi cedera di luar bar di Youngstown, Ohio, awal pagi semalam, manakala seorang remaja perempuan berusia 16 tahun maut dan tujuh lagi cedera di sebuah taman di Columbus.

Insiden tembakan maut turut berlaku di Minneapolis, Minnesota, malam sebelum penyokong dan ahli keluarga George Floyd (individu berkulit hitam yang dibunuh oleh pegawai polis berkulit putih) mengadakan perarakan semalam, bagi memperingati ulang tahun pertama kematian Floyd.

Dalam kejadian itu, seorang maut, manakala lapan lagi cedera dengan seorang mangsa dalam keadaan kritikal.

Polis Minneapolis memberitahu AFP bahawa suspek tembakan ditahan, manakala seorang lagi suspek terbunuh.

Sebelum ini Biden memperkenalkan enam langkah eksekutif bagi mengatasi krisis keganasan termasuk mengusulkan peraturan bagi mengekang pembuatan senjata api haram selain meningkatkan sokongan kepada agensi keselamatan dalam menangani keganasan dalam komuniti.

Penjualan senjata api melonjak pada awal penularan pandemik COVID-19. Keseluruhannya, tahun 2020 adalah antara tahun paling ganas di AS dalam tempoh beberapa dekad.

Sepanjang tahun ini, terdapat sekurang-kurangnya 200 siri tembakan di AS, menurut Arkib Keganasan Senjata Api.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.