12 Hospital Swasta mula beroperasi sebagai PPV esok 

107

24 MEI : Sebanyak 12 hospital swasta di tiga negeri akan mula beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) COVID-19 bermula esok dalam usaha mencapai sasaran 150,000 vaksinasi sehari sebelum Jun. 

Perkara itu dikongsikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi infografik di Twitter miliknya memaklumkan  daripada jumlah itu, lima daripada di Negeri Sembilan iaitu Pusat Perubatan Nilai, Hospital Pakar Senawang, Hospital UCSI, Hospital Pakar KPJ Seremban dan Pusat Perubatan Mawar. 

KKM memaklumkan, lima lagi adalah di Sarawak iaitu Hospital Columbia Asia, Hospital Pakar KPJ Kuching, Pusat Perubatan Rejang, Pusat Perubatan Timberland dan Pusat Perubatan Borneo di Sarawak manakala selebihnya terletak di Hospital Pakar KPJ Selangor dan Pusat Perubatan MSU di Selangor.

“Sejumlah 2,250 dos sehari akan disediakan di semua hospital itu bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan akan terus ditambah setiap minggu,” tulis KKM menerusi Twitternya, hari ini. 

Terdahulu, PICK bermula pada 24 Februari lalu apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama di negara ini menerima vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech, disusuli dos kedua pada Rabu lalu.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin pula menjadi individu pertama di Malaysia menerima vaksin keluaran Sinovac, portfolio vaksin kedua yang diagihkan di negara ini, Mac lalu.

Fasa 2 imunisasi, yang bakal membabitkan vaksin Pfizer-BioNTech dan Sinovac, dijadualkan telah bermula pada April lalu hingga Ogos depan, untuk kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.

Fasa 3 pula akan bermula pada Mei hingga Februari tahun depan dan disasarkan untuk sekitar 13.7 juta penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing. 

Setakat 21 Mei, seramai 1.42 juta orang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin, iaitu peningkatan daripada 1.19 juta pada awal minggu itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.