PAS Perak kumpul RM714,168 derma untuk Palestin

22

23 MEI: Sebanyak RM714,168 berjaya dikumpul PAS Perak bagi disumbangkan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel, setakat semalam.

Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, berkata jumlah itu adalah hasil usaha parti berkenaan yang melancarkan tabung sumbangan bagi mengumpul dana, susulan krisis di Palestin.

Katanya, sumbangan terbabit diterima daripada seluruh 24 PAS kawasan, Dewan PAS Perak dan kesemua penderma yang menginfak wang ringgit serta harta bagi disalurkan kepada tabung itu.

“Apa lebih utama, didoakan semoga segala kerja dan usaha kita ini mendapat keberkatan serta keredaan daripada Allah untuk membantu saudara seagama yang ditimpa kesusahan.

“Perkara ini juga akan menjadi bukti penyaksian di hadapan Allah terhadap usaha kita lakukan dalam membantu insan memerlukan dengan penuh kasih sayang dan juga sifat belas kasihan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook PAS Perak.

Razman berkata, pihaknya mengharapkan sumbangan terbabit dapat dimanfaatkan sebaik mungkin rakyat Palestin dalam usaha membina semula kediaman, penyaluran bantuan makanan dan keperluan berkaitan.

“PAS Perak merakamkan penghargaan kepada semua pihak terbabit di dalam usaha berkenaan, termasuk penyumbang daripada pelbagai latar belakang,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.