Kartel Daging:Dua Pegawai Maqis mengaku tidak bersalah

38

23 MEI: Empat Penolong Pegawai Penguatkuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) serta seorang pengurus syarikat logistik didakwa dengan 10 pertuduhan membabitkan kes kartel daging sejuk beku antara Disember 2016 hingga Disember tahun lalu di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.

Walau Bagaimanapun, dua daripada pegawai Maqis iaitu Nor Azlan Mat Suki, 40 dan Mohd Hafizan Khalid, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan, di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Kedua-dua mereka didakwa atas lima serta satu pertuduhan dengan menerima rasuah bernilai RM37,500 bagi melepaskan 41 kontena yang membawa daging sejuk beku milik Syarikat ZS Armin Sdn Bhd, dari negara tidak diiktiraf Jabatan Veterinar.

Mengikut kertas pertuduhan, kesalahan berkenaan  dilakukan di restoran di Iskandar Puteri dan Johor Bahru, di antara Disember 2016 hingga April 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, seorang pengurus syarikat logistik, Abdul Latif A Rahman, 55, juga mengaku tidak bersalah, terhadap dua pertuduhan pilihan dengan memalsukan dokumen Borang Pengakuan Barang-Barang Yang Diimport, pada Oktober lalu.

Bagi dua pertuduhan pilihan itu, Abdul Latif, didakwa memalsukan dokumen Borang Pengakuan Barang-Barang Yang Diimport, bagi Syarikat LY Frozen Sdn Bhd, dengan nama dan tandatangan pembuat akuan yang sebenarnya sudah meninggal dunia pada 2009 bagi mengelirukan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Abdul Latif didakwa mengikut Seksyen 18 Akta SPRM, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butiran palsu atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, dua lagi Penolong Pegawai Penguat kuasa MAQIS Gred KP29, Mohammad Sofyan Mohd Zin, 27, dan Khairul Izat Sulaiman, 31, mengaku bersalah masing-masing atas pertuduhan gagal melaporkan penerimaan rasuah bernilai RM130 pada Oktober lalu.

Mohammad Sofyan dan Khairul Izat masing-masing dituduh gagal melaporkan menerima rasuah sebanyak RM30 dan RM100 daripada Abdul Latif sebagai ejen penghantaran QFF Logistic Sdn Bhd bagi mempercepat proses pemeriksaan dokumen dan fizikal konsainan.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Suhaili Sapun dan Wan Shaharuddin Wan Ladin dengan Nor Azlan diwakili Peter Tan, Mohd Hafizan diwakili Mohd Razak Sharif dan Abdul Latif diwakili S Vijaya, manakala Mohammad Sofyan pula tidak diwakili peguam.

Mahkamah turut menetapkan 29 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan dokumen manakala, kes membabitkan Khairul Izat pula bersambung semula petang ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.