Unit Bom Bukit Aman bantu siasat kereta meletup

56

22 MEI: Polis Kelantan menunggu laporan siasatan Unit Forensik dan Unit Bom Bukit Aman, sebelum umum punca sebenar sebuah kereta meletup dan terputus dua di Kampung Sireh, Kota Bharu, Kelantan, semalam.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata polis tidak tolak kemungkinan insiden sehingga mengorbankan pemandunya dipercayai akibat mangsa merokok dalam kenderaan yang sarat dengan mercun bola.

Bagaimanapun, Shafien berkata punca sebenar kejadian belum dapat disahkan kerana menunggu siasatan Unit Forensik dan Unit Bom Bukit Aman.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika kereta terbabit sedang berhenti di lampu isyarat.

“Ada saksi mendakwa, ketika kejadian mangsa merokok dan membuka sedikit tingkap sebelum letupan berlaku.

“Polis Kelantan memohon bantuan unit berkenaan untuk membuat analisis dan mereka dalam perjalanan ke negeri ini hari ini.

Hasil analisis termasuk punca kejadian dijangka diperoleh tidak lama lagi,” katanya pada sidang media ketika meninjau Kampung Terusan Limbat, Pasir Tumboh, Kelantan hari ini.

Dalam kejadian jam 5.38 petang di Jalan Pintu Geng, Kampung Sireh, Kota Bharu semalam, mangsa Wan Hassan Wan Ali, 49, maut di tempat kejadian, manakala lima kenderaan lain turut terbakar.

Letupan itu menyebabkan empat kenderaan rosak dan empat mangsa lain cedera termasuk seorang cedera parah.

Kejadian itu menyebabkan kereta Proton Iswara dipandu mangsa rentung dan terputus dua.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, letupan itu agak kuat kerana mewujudkan kesan dalam radius 100 meter termasuk kenderaan berdekatan, masjid, rumah penduduk dan tadika.

Katanya, nilai kemusnahan dalam kejadian itu belum diketahui memandangkan mangsa lain termasuk penduduk di lokasi terkesan dengan kejadian itu belum membuat laporan polis.

“Kita minta semua mangsa membuat laporan polis untuk memudahkan siasatan termasuk menilai jumlah kerugian,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat sama ada mangsa terbabit dengan aktiviti penyeludupan mercun berikutan mangsa mempunyai dua rekod kesalahan dadah serta pecah rumah sebelum ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.