Sindiket Rokok Seludup Indonesia Tumpas

12

22 MEI: Sindiket pengedaran rokok seludup berjaya ditumpaskan sepasukan Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) Semenyih dalam Op Kontraban di sekitar daerah Kajang, pada Khamis lalu. 

Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad berkata dalam operasi tersebut, pihaknya merampas 13,462 karton rokok berjumlah RM3 juta termasuk cukai. 

Menurut beliau, operasi yang bermula jam 1 petang itu berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 34 dan 36 tahun dan suspek pertama berjaya ditahan di Jalan Semenyih Mewah. 

“Hasil pemeriksaan suspek pertama, pihak polis menemui 550 karton rokok bernilai RM121,276.32 termasuk cukai di dalam kenderaan yang dinaikinya. 

“Susulan itu, soal siasat kemudian membawa kepada serbuan kira-kira jam 11 malam di sebuah rumah teres dua tingkat di Jalan Kajang East. Seorang lelaki ditahan dengan rampasan 12,912 karton rokok bernilai RM2.9 juta. 

“Selain itu, pihak polis juga turut merampas dua buah kenderaan, tiga telefon bimbit dan wang tunai RM6,832,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, hari ini. 

Dalam pada itu, Azri memaklumkan modus operandi sindiket yang telah aktif hampir empat tahun itu dipercayai mendapatkan bekalan rokok secara tidak sah dari negara Indonesia sebelum diseludup melalui jalan laut. 

Menurut beliau, rokok tersebut kemudian dibawa ke rumah teres tersebut yang dijadikan sebagai stor simpanan dan akan dijual kepada peruncit di sekitar Kajang, Semenyih, Bangi dan Nilai, Negeri Sembilan.

“Polis percaya sindiket ini mampu mengaut untung RM30,000 sebulan hasil kegiatan haram mereka. Kedua-dua suspek telah direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Justeru, pihaknya berharap orang ramai dapat menjadi mata dan telinga polis dalam menyalurkan maklumat kes penyeludupan, kontraban dan jenayah rentas sempadan. 

“Saya mengharapkan perhatian orang awam bagi memastikan negara tidak dicerobohi oleh mana-mana elemen berkenaan,” katanya. 

Get real time updates directly on you device, subscribe now.